Categories
SELANGOR

CSSB bantu bina rumah asnaf

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 OKT: Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM272,353,00 sebagai inisiatif membantu golongan asnaf fakir memiliki rumah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmud Abbas berkata, ia dilaksanakan sebagai tanggungjawab sosial syarikat itu membantu golongan memerlukan.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi bantuan pembaikan rumah dan pembangunan unit kediaman baru kepada golongan itu.

“Tiga unit rumah baru berjumlah RM41,780,00 setiap satu diperuntukkan serta lapan rumah dibaik pulih dengan kos RM146,743,00.

“Pastinya tujuan program adalah untuk membantu asnaf zakat untuk memiliki rumah serta memberi keselesaan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Selain membantu untuk menambah baik kualiti hidup, ia juga dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan diri penerima dan keluarga untuk berhadapan dengan masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, majlis penyerahan rumah baru diadakan pada 6 Oktober lalu membabitkan 11 penerima.

CSSB merupakan syarikat pemaju hartanah, sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri yang membangunkan Selangor Halal Hub dan Pulau Indah Industrial Park.

=EZY=