Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Izzat buang badi ‘DNF’

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 OKT: Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, Mohd Izzat Zaidi Salehan perlu mengelak terbabit sebarang insiden apabila turun beraksi dalam pusingan kelapan kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, Sabtu dan Ahad ini.

Ini kerana pelumba itu gagal menamatkan perlumbaan (DNF) dalam dua pusingan perlumbaan lalu di Jasin, Melaka dan Pasir Putih, Kelantan biarpun bermula dengan cemerlang.

Pelumba kelahiran Selangor itu bermula di petak kedua di Jasin dan pertama di Pasir Putih tetapi malang buatnya apabila gagal menamatkan kedua-dua pusingan perlumbaan menyaksikan keciciran mata dan sekadar menghuni tangga ke-13 keseluruhan dengan mengumpul 28 mata.

“Saya tidak tahu di mana silapnya, sama ada tidak bernasib baik atau mungkin sedikit gementar apabila mendahului pelumba lain.

“Saya tidak boleh mengulangi kesilapan serupa minggu ini. Selepas beberapa pusingan, jentera kami semakin laju dan mampu menduduki kelompok depan. Malangnya saya mensia-siakan kelebihan itu,” katanya pelumba berusia 22 tahun itu.

Beliau berkata, peluang perlu digunakan sepenuhnya ketika perlumbaan di Jempol untuk memungut mata.

“Saya telah membuang banyak mata perlumbaan. Saya berada di kedudukan ketujuh sewaktu pusingan kelima di Selangor tetapi kini jatuh ke kedudukan ke-13.

“Saya perlu memunngut seberapa banyak mata di Jempol untuk kembali bersaing di kelompok atas. Hanya tinggal tiga pusingan sahaja lagi untuk saya mengejar sasaran menamatkan musim dalam kelompok lima pelumba terbaik,” katanya.