Categories
SELANGOR

LZS serah RM5,000 bantu kanak-kanak dipatuk ular

 

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan bantuan RM5,000 kepada keluarga Nur Dhia Batrisya Zulkifli bagi menampung kos rawatan akibat dipatuk ular.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, permohonan dibuat pada Rabu lalu diluluskan pada hari ini memandangkan keadaan kanak-kanak itu yang memerlukan pembedahan segera.

“Bapa kanak-kanak ini telah datang memohon di cawangan LZS Sungai Buloh pada Rabu lalu dan keluarga ini dibantu di bawah asnaf gharimin.

“Kami dimaklumkan, pembedahan akan dilakukan pada 20 Oktober nanti,” katanya.

Sumbangan disampaikan Ketua Operasi Agihan Asnaf Daerah Gombak Abdul Razak Razali kepada bapa Nur Dhia, Zulkifli Arshad di rumah keluarga kanak-kanak itu.

Sebelum ini, keadaan Nur Dhia, 5 menjadi perhatian netizen apabila ibunya, Zanariah Nordin memuat naik status di Facebook bagi memohon bantuan membiayai kos pembedahan anaknya.

Perkara itu kemudiannya mendapat maklum balas LZS.

Nur Dhia dipatuk ular pada jari telunjuk tangan kanannya pada 4 September lepas dan ditahan di Hospital Sungai Buloh selama 25 hari.

Kanak-kanak itu kemudiannya mendapat rawatan susulan di Klinik Bedah Plastik Hospital Sungai Buloh.