Categories
SELANGOR

Cuti tambahan Deepavali dua hari, henti burukkan UNISEL

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) menafikan pihaknya hanya membenarkan satu hari cuti umum sebaliknya memberikan dua hari cuti tambahan pada 19 dan 20 Oktober bagi pelajar berbangsa India menyambut Deepavali.

Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan ketika dihubungi Selangor Kini menjelaskan pemberian cuti tambahan itu menyaksikan pelajar boleh meluangkan masa bersama keluarga pada perayaan yang jatuh pada Rabu, 18 Oktober sehingga Ahad, 22 Oktober dan ia sudah diputuskan awal oleh pengurusan tertinggi UNISEL.

“Pemberian cuti tambahan ini sebenarnya sudah awal-awal lagi diputuskan oleh Pengurusan Tertinggi dan memo pemberitahuan kepada pelajar juga telah dikeluarkan. Kita berharap selepas ini adalah lebih baik buat pihak ini (Pemuda MIC), untuk mendapatkan jawapan secara terus dari UNISEL sebelum membuat kenyataan secara terbuka,” katanya.

Penjelasan itu dibuat bagi menafikan kenyataan Ketua Pemuda MIC, Sivaraajh Chandran menerusi laporan sebuah portal yang mendakwa UNISEL hanya memberikan satu hari cuti umum kepada pelajar untuk menyambut Deepavali.

Tegasnya, pihak tidak bertanggungjawab sepatutnya menghentikan sebarang bentuk serangan atas kapasiti politik atau cuma menjatuhkan imej UNISEL.

“Cukup-cukuplah menyerang Universiti ini atas kapasiti politik berkepentingan. Ini kerana, kenyataan tidak tepat pihak ini hanyalah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi Universiti serta cuba membawa persepsi negatif kepada umum,” katanya.