Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah titip pesanan Anwar dari Sungai Buloh

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT: Walaupun jasad terpenjara, namun semangat Anwar Ibrahim untuk membawa Malaysia pada tahap lebih baik kekal utuh dalam dirinya.

Demikian kata Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi pesanan dititipkan Ketua Umum gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Anwar berharap agar masyarakat tidak melupakan perjuangan semua inidividu dan aktivis yang bertungkus lumus melawan kezaliman kerajaan kleptokrasi.

“Saya membawa suara Anwar di Sungai Buloh.

“Jangan lupa Anwar, jangan lupa Tian Chua dan jangan lupa mereka yang telah berkorban untuk negara ini!” laung Wan Azizah ketika berucap pada himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN), di Padang Timur Petaling Jaya, malam tadi.

Sebelum ini, beberapa individu yang lantang bersuara menentang kezaliman kerajaan didakwa di mahkamah atas pelbagai akta perundangan di peringkat Persekutuan.

Mereka dikenakan di bawah pendakwaan Akta Hasuta, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Perhimpunan Aman.

Antaranya, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli, juga kartunis Zunar.

Lebih mendukacitakan, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua baru-baru ini dipenjarakan, selepas gagal dalam permohonan rayuan terakhirnya di mahkmah, September lalu.

Bercakap lanjut, Wan Azizah berkata, negara kini ditadbir seorang pemimpin yang tidak mengamalkan pentadbiran demokrasi dan menuntut kepada perubahan.

“Wahai Perdana Menteri, peganglah amanah dengan penuh tanggungjawab, tetapi apa yang telah kamu lakukan kini?

“Kamu pergi ke Amerika, sedangkan ada rakyat negara yang tiada duit, masih tertekan dengan ekonomi kini.

“Kalau kita tidak jaga anak-anak dan rakyat negara kita, siapa lagi mahu bantu?” katanya.

=EZY=