Categories
SELANGOR

Hapus Tol: Jangan berlagak hero- MB

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OKT: Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dinasihat untuk berhenti berlagak hero dengan pengumuman penghapusan tol di Lebuhraya Persekutuan bagi Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula Januari 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kecanggihan teknologi masa kini membolehkan rakyat menyemak hayat konsesi yang dijadual tamat pada 2018.

Katanya, Najib perlu segera menghentikan pembohongan dan mengelirukan rakyat dengan isu tol di Lebuhraya Persekutuan itu.

“Rakyat boleh semak dengan mudah, konsesi pun sudah mahu tamat tetapi ada yang tiba-tiba mahu jadi juara dalam isu ini.

“Ini bukan soal saya mahu kredit tetapi seperti saya nyatakan semalam, ini adalah hasil perjuangan rakyat mendesak tol dihapuskan selama ini.

“Kerajaan Persekutuan juga patut hapuskan tol di seluruh negara memandangkan syarikat konsesi sudah meraih keuntungan berlipat ganda, cukuplah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan kononnya beliau mahu mengambil kredit berikutan pengumuman penghapusan tol menerusi Bajet 2018 semalam.

Ditanya sama ada pengumuman Umno-BN itu bertujuan merampas Selangor, Mohamed Azmin meminta gabungan parti itu melupakan hasrat berkenaan.

“Nak ambil Selangor buat apa, negeri yang mereka ada tu jagalah elok-elok.

“Sekarang bukan sekadar hapus tol di Selangor, tetapi juga di Kedah dan Johor selepas lihat sokongan rakyat terhadap Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Inilah peranan pembangkang memberi tekanan, berjuang bersama rakyat dan akhirnya kemenangan buat rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing Sempena Sambutan ke 17 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

=EZY=