Categories
SELANGOR

Tol: Kerajaan Negeri hanya minoriti

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri sudah memainkan peranan menerusi mesyuarat lembaga pengarah konsesi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) agar tidak mengenakan kadar tol membebankan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri konsisten dengan pendirian bahawa konsesi tidak perlu mengutamakan keuntungan besar dengan menekan pengguna.

Katanya, konsesi sebaliknya dicadang untuk mengembalikan kutipan kepada pengguna, seperti penyelenggaraan jalan.

“Suara Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak besar dan gah kerana hanya merupakan pemegang saham minoriti dan keputusan akhir akan diputuskan lembaga pengarah.

“Seperti kebanyakan situasi, suara minoriti tidak kuat dan tidak dipedulikan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan cadangan Kerajaan Negeri mengumumkan penghapusan tol di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) menerusi Belanjawan Selangor 2018 nanti.

Mohamed Azmin menegaskan, perkara itu merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.

“Isu lebuhraya dan konsesi bukan bawah Kerajaan Negeri, jika lagi dua bulan kita ke Putrajaya mungkin akan ada pengumuman sebegitu,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing Sempena Sambutan ke 17 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Perangsang Selangor Berhad memiliki 20 peratus saham masing-masing di LDP dan Lebuh Raya Sprint manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menguasai 30 peratus saham di Kesas.

=EZY=