Categories
NASIONAL

Himpunan batal, DBKL sedia berbincang Isnin ini

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Jawatankuasa Penyelesaian Perumahan Tetap Jinjang Selatan Tambahan membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak Kerajaan Persekutuan menyelesaikan kemelut kediaman mereka.

Setiausaha Kerja Jawatankuasa, Amir Khan Balkat Halli berkata, pembatalan itu dibuat selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju mengadakan pertemuan bersama mereka Isnin ini menerusi sepucuk surat yang dikirimkan pagi tadi.

“DBKL bersetuju mengadakan perbincangan Isnin ini di pejabatnya bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit.

“Saya membatalkan kehadiran 10 bas kerana DBKL akan berbincang pada Isnin ini,” katanya.

Menurutnya, surat rasmi DBKL menerusi Pejabat Perancang Ekonomi dan Pembangunan Sosial diterima pada jam 11.55 pagi tadi.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menyiapkan terlebih dahulu rumah sementara buat penduduk Lot 9714 yang sudah menerima notis pemindahan sebelum melakukan sebarang pembangunan pada tanah seluas 96 ekar.

Tegasnya, sekiranya tiada lagi jalan penyelesaian dalam perbincangan Isnin ini, mereka tegas kembali mengadakan perhimpunan sama pada pembentangan bajet tahun hadapan.

“Untuk tahun ini, kita mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak empat kali dan ini merupakan kali kedua kami berhimpun,” katanya.

Dalam keadaan hujan renyai, hampir 10 penduduk sebelum itu mengadakan perhimpunan ringkas sekitar 10 minit di luar Bangunan Parlimen itu sambil dikawal polis.

Dalam perkembangan sama, Ketua Kampung, A Ponnampalam mengingatkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah rakyat di Kuala Lumpur sebelum mencampuri urusan di negeri lain.