Categories
SELANGOR

MB: Ekonomi kukuh,bakal bentang belanjawan baik

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 27 OKT: Kerajaan Negeri berupaya membentangkan belanjawan negeri yang kukuh ekoran mencapai kemajuan ekonomi yang baik berikutan mempraktikkan amalan pentadbiran penuh berintegriti.

Sehubungan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri berkemampuan menyediakan pelan pembangunan menerusi Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan, pada 3 November ini.

“Kita sudah ada rekod pengurusan kewangan cemerlang dan saya berani bersemuka dengan rakyat kerana yakin tanggungjawab diberikan kita laksanakan dengan jujur dan berintegriti,” katanya dalam Majlis Penyerahan Hakmilik Tanah dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di sini, hari ini.

Berbeza dengan Kerajaan Persekutuan, beliau berkata, sememangnya Selangor mencatat pencapaian baik dalam ekonomi dan ia akan dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk program digariskan Kerajaan Negeri.

“Hasil mahsul negeri akan dikembalikan semula kepada seluruh rakyat di Selangor,” katanya.

Katanya, biarpun Selangor diserang dengan pelbagai laporan berita negatif tetapi Kerajaan Negeri tidak lemah semangat kerana segala dilakukan adalah bagi mengangkat martabat rakyat.

Beliau selanjutnya berkata, Belanjawan 2018 untuk negara akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, petang ini akan dinilai rakyat berikutan kedudukan kewangan negara yang parah.

“Ekonomi negara sedang gawat dan saya tidak pasti apa yang akan dibentangkan nanti kerana hutang negara tinggi hampir RM1 trilion,” katanya