Categories
SELANGOR

Isu kuarters: PHSSB tawar kediaman PPR Seksyen 8 Kota Damansara

SHAH ALAM, 4 OKT: Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) bersetuju menawarkan unit kediaman di PPR Seksyen 8 Kota Damansara kepada dua keluarga berhubung isu kuarters di perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, di Subang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diputuskan segera selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Pengurus Besar PHSSB, Nazmi Osman, hari ini.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum tindakan penguatkuasaan Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) terhadap tiga rumah dan dua kedai berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

“Saya juga meminta Pegawai Daerah Petaling untuk bekerjasama dengan PHSSB bagi menguruskan perpindahan kedua keluarga ini ke kediaman yang ditawarkan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut bersetuju membiayai kos sewa unit kediaman terbabit bagi tempoh enam bulan sebelum ia ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan.

Mohamed Azmin berkata, usaha itu selaras dasar Kerajaan Negeri yang peduli dan tuntas membela kebajikan rakyat.

“Kerajaan Negeri berharap kedua keluarga terbabit mendapat kediaman selesa dan kondusif untuk kehidupan lebih sempurna,” katanya.