Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Institut Wanita Berdaya perkasa wanita hadapi Revolusi Industri 4.0

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Institut Wanita Berdaya (IWB) diyakini mampu memperkasa wanita Selangor dengan polisi dan strategi holistik dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, revolusi industri itu diramal meranapkan jutaan pekerjaan kesan peningkatan kebergantungan kepada sistem robotik berasaskan ‘internet of things’ (IOT).

Katanya, ia memberi kesan langsung kepada wanita yang lazimnya kurang menceburi bidang berkenaan seterusnya menyebabkan mereka hilang pekerjaan.

IWB (3)“Kerajaan Negeri berusaha untuk melebarkan peluang bagi wanita melalui pendidikan, keusahawanan dan latihan vokasional.

“Perkasakan wanita menerusi sukan, seni budaya, sains dan teknologi bagi meningkatkan kemahiran dan penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan serta pakar teknologi. Kita mahu lahirkan lebih ramai wanita sebagai ‘movers dan shekers of economy’,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Selangor tidak akan mencapai status ‘regional smart state’ jika wanita dipinggir dan gagal diberdaya dengan ilmu juga kemahiran.

“Ada pepatah mengatakan, mendidik seorang lelaki bermakna mendidik seorang individu, mendidik seorang wanita bermakna mendidik satu keluarga.

“Sesungguhnya, masa hadapan Selangor sebahagian besarnya bergantung kepada wanita negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran IWB dan Dasar Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.