Categories
KENYATAAN MEDIA

Jangan jadikan sekolah medan berpolitik

Semalam hangat diperkatakan umum apabila sebuah sekolah rendah di Putrajaya telah mengadakan pertandingan dan persembahan bertemakan Umno yang menyaksikan murid-murid sekolah meneriakkan slogan ‘Hidup Umno’, mengibarkan bendera serta menyanyikan lagu parti itu.

Majlis tersebut dihadiri sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Setiausaha Agung Umno.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dengan tegas mengeluarkan arahan agar sekolah tidak dibenarkan sama sekali untuk dijadikan medan berpolitik.

1. Program yang diadakan di sebuah sekolah rendah ini menjadi sebahagian tindakan terdesak Umno secara terang-terangan dengan helah politik di sebalik pertandingan yang dianjurkan.

Tiada keperluan untuk diadakan program sedemikian rupa memandangkan terdapat banyak lagi tempat yang bersesuaian untuk mempromosikan parti politik.

Menteri Umno dilihat dangkal kerana tidak tahu membezakan antara kerajaan dan parti, di mana kerajaan sendiri didokong oleh rakyat dan bukannya parti.

2. Kami melihat anak-anak kecil yang naif tentang politik telah menjadi mangsa sang penguasa di dalam program ini.

Adakah hanya Umno sahaja boleh menggunakan segala kemudahan rakyat sewenang-wenangnya demi kepentingan parti?

3. Jika alasan sejarah mahupun atas semangat bulan kemerdekaan sekalipun, program seumpama ini telah dijalankan pada setiap tahun sepanjang bulan Ogos.

Sedangkan kerajaan sendiri berpendirian bahawa tidak boleh mempolitikkan premis awam dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana bercanggah serta melampau.

4. Guru selaku penjawat awam yang berbakti di sekolah sebagai pendidik anak bangsa telah menjadi ‘mangsa’ yang menuruti segala arahan oleh pihak atasan.

Rata-rata guru yang terlibat sememangnya kurang senang dan tidak bersetuju dengan tema program yang dianjurkan. Dilihat hanya Guru Besar sahaja menyokong penuh kepada program ini.

Maka kami daripada Pakatan Harapan Putrajaya dengan ini membuat bantahan sekeras-kerasnya keatas program sedemikian serta mendesak supaya amalan ini dihentikan segera kerana penjawat awam tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan awam yang melarang sebarang program berbentuk kepartian di premis milik kerajaan.

5. Sewajarnya guru-guru yang dipertanggungjawabkan mendidik anak bangsa tidak sepatutnya dilibatkan dalam program yang memihak parti kerajaan kerana pekeliling yang dikeluarkan jelas menyebut program sebegitu tidak dibenarkan sama sekali melibatkan pegawai kerajaan yang gaji mereka dibayar oleh rakyat.

Kami menyeru agar pendidikan di sekolah lebih menekankan kepada sikap patriotik yang mengutamakan kepentingan negara berbanding fahaman sempit menyokong parti-parti tertentu. Sikap sebegini boleh menimbulkan suasana perpecahan di kalangan masyarakat dalam negara yang kita cintai.

Sekian.

PAKATAN HARAPAN PUTRAJAYA

Onn Abu Bakar
Ketua Cabang
Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Putrajaya

Haji Kamal Koh
Ketua Kawasan
Parti Amanah Negara (AMANAH) Putrajaya

Haji Hasnul Hadi Ahmad
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Putrajaya