Categories
NASIONAL

Penjawat awam ‘tawar hati’ dengan Umno-BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 OKT: Kakitangan awam khususnya di peringkat pertengahan dan bawah tidak berpuas hati, kecewa serta marah kepada kerajaan Umno BN atas pelbagai faktor, dakwa Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddn Nasution.

Beliau berkata, penjawat awam sudah ‘tawar hati’ dengan kerajaan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kononnya hubungan antara kerajaan dan penjawat awam sebagai ‘aur dan tebing’.

“Kehidupan mereka (penjawat awam) semakin hari semakin perit sejak kerajaan Umno BN menghapuskan pelbagai subsidi dan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kepincangan kepimpinan Umno BN dengan pelbagai skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa membuatkan penjawat awam berasa meluat serta menyampah dengan kepimpinan sedia ada.

“Lagi mendukacitakan apabila para penjawat awam sering dibelenggu campur tangan politik dan kebajikan yang tidak berpenghujung,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, perdana menteri memberi amaran kepada penjawat awam masa depan mereka mungkin buruk jika pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

Saifuddin NasutionBeliau mendakwa kononnya pembangkang sesuka hati menuduh perkhidmatan awam sebagai ‘bloated civil service’, yakni terlebih bilangannya, berbanding negara lain.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pucuk pimpinan Persekutuan disifatkan tidak menghargai sumbangan penjawat awam negara.

“Umno BN menjadi contoh kerajaan yang tidak tahu kenang budi rakyatnya. Setelah undi dan mandat diberi, di kemudian hari rakyat dilayan bagai ‘sampah sarap’, malah semua projek diberikan kepada kroni sahaja.

“Diakui penjawat awam boleh menjadi pencetus perubahan dalam sektor perkhidmatan awam, justeru jangan dibiarkan kerajaan Umno BN memperkotak-katikkan perkhidmatan awam lagi.

“Hal ini boleh diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dengan menggunakan kuasa undi bagi mengubah keadaan negara dan perkhidmatan awam khasnya,” katanya.