Categories
GLOBAL

Julie Bishop dilantik TPM

SYDNEY 28 OKT: Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, melantik Menteri Luar, Julie Bishop, sebagai timbalannya hari ini selepas krisis kerakyatan, menyebabkan penyandang jawatan itu sebelum ini disingkirkan.

Keadaan itu juga meletakkan kerajaan pimpinan Turnbull hilang majoriti Parlimen, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Turnbull dijadualkan mengunjungi Israel semalam untuk lawatan seminggu tetapi tidak dapat berbuat demikian tanpa melantik timbalan untuk menyambung tugasnya sebagai pemangku Perdana Menteri sepanjang ketiadaannya.

Lawatan beliau ditangguhkan sehingga Isnin ini, katanya kepada media hari ini.

“Penting untuk menjelaskan bahawa berbeza dengan spekulasi dalam media, kerajaan mempunyai majoriti dalam Dewan Perwakilan,” kata Turnbull.

Mahkamah Tinggi Australia, semalam memutuskan Timbalan Perdana Menteri, Barnaby Joyce dan empat lagi ahli perundangan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana mempunyai dua kerakyatan ketika pilihan raya.

Kerajaan gabungan pimpinan Turnbull kini dalam keadaan tidak menentu.

Parti Liberal pimpinannya adalah parti kanan dalam gabungan dengan Parti Nasional diketuai Joyce.

Turnbull kini perlu menang sokongan satu daripada tiga ahli perundangan bebas untuk memastikan kerajaannya terus bertahan, sehingga Parlimen ditutup tahun ini.

Sekurang-kurangnya dua ahli perundangan bebas menjanjikan sokongan.

=EZY=