Categories
NASIONAL

9 maut nahas van, lori di Jalan Air Kuning-Mambang Di Awan

TAPAH 28 OKT: Sembilan maut manakala seorang dilaporkan parah dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori ais di Jalan Air Kuning-Mambang Di Awan, dekat sini, pagi tadi.

BH ONLINE melaporkan difahamkan, mereka yang maut adalah pekerja ladang iaitu lapan wanita dan seorang lelaki berusia antara 40 hingga 60 tahun, manakala mangsa yang cedera ialah pemandu lori ais.

Bagaimanapun, identiti mangsa belum diperoleh.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, ketika mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima laporan orang awam pada jam 7 pagi.

Katanya, semua mayat sudah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 6.42 pagi.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu BBP Kampar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Laporan ketua operasi memaklumkan 10 mangsa terbabit dan tersepit di dalam van berkenaan,” katanya.

=EZY=