Categories
EKONOMI NASIONAL

Kadar sewa pejabat di KL dijangka terus meningkat 2.5%

KUALA LUMPUR 12 OKT: Kadar sewa pejabat di kawasan utama Kuala Lumpur dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang dan mengatasi Beijing dan Shanghai, demikian menurut laporan Global Cities: The 2018 Report.

Laporan yang dikumpulkan oleh firma penyelidikan hartanah, Knight Frank itu membabitkan perbandingan pasaran hartanah di 15 kawasan utama bagi penempatan pejabat di rantau Asia Pasifik.

Ia turut mengunjurkan Manila akan muncul sebagai bandar raya yang mencatat pertumbuhan paling kukuh di rantau itu sebanyak 19.1 peratus diikuti Brisbane (16.5 peratus) dan Singapura (15.8 peratus).

Ketua Penyelidikan Knight Frank Bagi Asia Pasifik, Nicholas Holt berkata pertumbuhan pasaran pejabat di kawasan utama Kuala Lumpur itu disebabkan oleh faktor seperti aliran teknologi, persekitaran tempat tinggal, kaedah pengangkutan serta kesalinghubungan.

“Kuala Lumpur adalah bandar raya dengan persekitaran bercampur, menggabungkan kerja, gaya hidup dan elemen rekreasi yang sememangnya diingini ramai.

“Malah, Projek River of Life (menghidupkan semula Sungai Klang dan Gombak dalam bandar dengan diberi suntikan nilai ekonomi dan komersial) mengubah Kuala Lumpur kepada sebuah bandar raya yang lebih mesra untuk didiami.

“Ia juga berkemungkinan tersenarai sebagai bandar raya ‘super’ atau hebat yang sebenar di masa depan,” katanya pada majlis pelancaran edisi keempat laporan itu di sini.

Holt berkata, ciri-ciri berkenaan penting bagi sebuah bandar raya kategori itu agar dilihat dapat memberi inspirasi kepada penduduknya dan sewajarnya memiliki kelebihan faktor ‘Wow’ bagi menarik syarikat tempatan dan multinasional utama.

Beliau berkata, prospek pertumbuhan kadar sewa di sekitar bandar utama di Asia Pasifik juga adalah positif bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Ini, katanya, turut memaparkan prospek pertumbuhan serantau yang kukuh dan boleh mengundang permintaan tinggi daripada beberapa sektor.

Sementara itu, Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam berkata Kuala Lumpur adalah antara peneraju pasaran utama pembangunan pelbagai guna yang menggalakkan faktor ‘tempat tinggal, bekerja dan bermain.’

“Projek pembangunan bercampur yang berjaya seperti Mid Valley City dan Bangsar South yang lengkap dengan pejabat bersepadu, unit kediaman dan disokong oleh infrastruktur pengangkutan yang baik adalah bukti bentuk persekitaran hebat untuk menarik pelaburan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah, berkata berbanding dengan bandar raya di Asia Tenggara, Greater KL (Kuala Lumpur dan sekitarnya) sebaliknya menawarkan banyak elemen sebagaimana terbukti menerusi kehadiran kukuh banyak syarikat multinasional sejak beberapa tahun lalu.

“Kemudahan menjalankan perniagaan sememangnya ketara di Kuala Lumpur dan ini boleh dilihat menerusi faktor seperti pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) sebagai pemacu pertumbuhan bagi menarik pelaburan langsung asing ke dalam Greater KL,” katanya.

Beliau berkata peningkatan penawaran dan kualiti ruang pejabat juga sering dipergiatkan untuk memenuhi jangkaan dan ketetapan syarikat korporat besar dan multinasional.

SUMBER: BERNAMA