Categories
SUKANKINI

Kajang Ultimate FC, Empayar Bangi FC ungguli SCL17

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Kajang Ultimate FC bertindak garang mengutip mata penuh dari tiga perlawanan bagi mengukuhkan penguasaan dalam Kumpulan A Selangor Champions League (SCL) 2017 setakat ini.

Memasuki minggu keempat dalam kejohanan semakin mencabar ini, pasukan itu meneruskan rentak cemerlang menewaskan Puchong Fuerza FC 3 – 1 di Stadium Panasonic, di sini, Jumaat lalu.

Sebelum itu, Kajang Ultimate FC mencatatkan dua kemenangan mengalahkan Shah Alam Condoh FC (1 – 0) dalam perlawanan pertama seterusnya mengatasi PJ Level Up FC (3 – 1).

Mereka mampu melebarkan penguasaan dalam kedudukan teratas sekiranya mampu menundukkan pasukan di kedudukan kelima Kumpulan A, Ampang ATY Serayan FC pada perlawanan esok.

Pasukan di tangga kedua, Shah Alam Condoh FC pula mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan satu kalah dengan pasukan itu akan turun dalam perlawanan keempat pada 15 Oktober menentang PJ Level Up FC.

Manakala Kumpulan B diungguli Empayar Bangi FC dengan mengutip enam mata dari dua perlawanan.

Selepas mengalahkan juara bertahan, TTDI Terrapins FC dan PIB FC (1 – 0), pasukan itu akan berdepan Hartamas Rebel FC, dalam perlawanan ketiga malam ini.

Sementara Gombak Klasiko FC di kedudukan kedua dengan lima mata selepas tiga perlawanan, akan meneruskan cabaran dalam perlawanan keempat pada esok menentang PIB FC.

Penganjuran SCL 2017 menyaksikan perubahan dengan tambahan dua pasukan menjadikan penyertaan 18 pasukan dalam edisi kali kedua tahun ini.

Kejohanan menawarkan gelaran juara dan wang tunai RM30,000 bermula 18 September hingga 9 Disember ini adalah cetusan idea Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi meningkat mutu dan taraf bola sepak amatur juga sosial di Selangor.

Ia dianjurkan Komuniti Belia Selangor (SAY) diketuai Tengku Amir Shah dengan kerjasama beberapa penaja antaranya Semuanya Bola, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Smart Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor, 1M4U dan Sunway.

=EZY=