Categories
SELANGOR SUKANKINI

SCL disokong, tingkat kualiti liga komuniti

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 6 MEI: Kerajaan Negeri menyokong penganjuran Selangor Champions League (SCL) yang berjaya menghimpunkan kelab bola sepak dalam liga komuniti dan sosial di negeri itu.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Amirudin Shari berkata, SCL diilhamkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, adalah inisiatif baik bagi kewujudan liga sedemikian rupa dengan kelab tersendiri.

“Ia sesuatu yang baik iaitu liga komuniti disertai banyak kelab yang diangkat martabatnya dan inisiatif Raja Muda Selangor memberi kesan positif dengan penyertaan kelab bola sepak yang mampu mendapat tajaan serta menghimpunkan penyokong mereka sendiri.

“Maka sebab itu, Kerajaan Negeri dan MSNS menyokong pembangunan SCL demi manfaat semua,” katanya selepas majlis pelancaran Akademik Bolasepak Merah Kuning (ABMK) di Padang Awam Kampung Baru Batu Caves, di sini, hari ini.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, SCL adalah salah satu kejohanan dengan tumpuan bagi melahirkan pemain bola sepak berkualiti di Selangor.

“Dengan adanya SCL, ABMK, program pembangunan bola sepak bawah 21 tahun dan yang lain termasuk pertandingan antaranya Piala Mokhtar Dahari dan Piala Raja Muda yang mana semuanya adalah usaha kita bagi tujuan sama,” katanya penyandang Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Axis-02 PJ FC ke Piala FA, SCL diiktiraf

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 DIS: Juara Selangor Champions League (SCL) 2017, Axis-02 PJ FC mencipta sejarah sebagai pasukan dari liga komuniti pertama bakal bersaing dalam Piala FA musim depan.

Penyertaan Axis-02 PJ FC dalam pertandingan itu disahkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), adalah pengiktirafan kepada SCL terutama penganjur, Komuniti Belia Selangor (SAY) dinaungi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

“Satu langkah besar buat bola sepak komuniti dan amatur di Malaysia apabila menyaksikan Axis-O2 PJ FC menjuarai SCL dan mendengar pengumuman secara rasminya dari FMLLP sendiri mengesahkan slot Juara SCL 2017 yang akan bertanding di Piala FA 2018,” kata kenyataan itu dari laman sesawang : http://scl.footballselangor.my/

Axis-02 PJ FC, kelab dari Petaling Jaya menjuarai SCL 2017 dengan mengalahkan PIB FC 4 – 1 melalui sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, 9 Disember lalu, selepas terikat satu gol sama dalam masa penuh permainan.

Dalam kenyataannya, FMLLP menjelaskan penyertaan Axis-02 PJ FC dalam Piala FA 2018 atas cadangan Pengerusinya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Langkah memberikan slot kepada pasukan komuniti ini adalah aspirasi Tunku Ismail yang mahu memastikan bola sepak Malaysia lebih inklusif dalam semua aspek.

“Terima Kasih Tunku Pengerusi,” katanya.

Piala FA adalah pertandingan bola sepak kalah mati dipertandingkan FAM bermula pada 1990.

Pada tahun ini, Kedah menjuarainya apabila mengalahkan Pahang 3-2.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Kajang Ultimate FC, Empayar Bangi FC ungguli SCL17

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Kajang Ultimate FC bertindak garang mengutip mata penuh dari tiga perlawanan bagi mengukuhkan penguasaan dalam Kumpulan A Selangor Champions League (SCL) 2017 setakat ini.

Memasuki minggu keempat dalam kejohanan semakin mencabar ini, pasukan itu meneruskan rentak cemerlang menewaskan Puchong Fuerza FC 3 – 1 di Stadium Panasonic, di sini, Jumaat lalu.

Sebelum itu, Kajang Ultimate FC mencatatkan dua kemenangan mengalahkan Shah Alam Condoh FC (1 – 0) dalam perlawanan pertama seterusnya mengatasi PJ Level Up FC (3 – 1).

Mereka mampu melebarkan penguasaan dalam kedudukan teratas sekiranya mampu menundukkan pasukan di kedudukan kelima Kumpulan A, Ampang ATY Serayan FC pada perlawanan esok.

Pasukan di tangga kedua, Shah Alam Condoh FC pula mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan satu kalah dengan pasukan itu akan turun dalam perlawanan keempat pada 15 Oktober menentang PJ Level Up FC.

Manakala Kumpulan B diungguli Empayar Bangi FC dengan mengutip enam mata dari dua perlawanan.

Selepas mengalahkan juara bertahan, TTDI Terrapins FC dan PIB FC (1 – 0), pasukan itu akan berdepan Hartamas Rebel FC, dalam perlawanan ketiga malam ini.

Sementara Gombak Klasiko FC di kedudukan kedua dengan lima mata selepas tiga perlawanan, akan meneruskan cabaran dalam perlawanan keempat pada esok menentang PIB FC.

Penganjuran SCL 2017 menyaksikan perubahan dengan tambahan dua pasukan menjadikan penyertaan 18 pasukan dalam edisi kali kedua tahun ini.

Kejohanan menawarkan gelaran juara dan wang tunai RM30,000 bermula 18 September hingga 9 Disember ini adalah cetusan idea Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi meningkat mutu dan taraf bola sepak amatur juga sosial di Selangor.

Ia dianjurkan Komuniti Belia Selangor (SAY) diketuai Tengku Amir Shah dengan kerjasama beberapa penaja antaranya Semuanya Bola, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Smart Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor, 1M4U dan Sunway.

=EZY=