Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan: 6 maut di Portugal, Sepanyol

GLOBAL 16 OKT: Kebakaran hutan di Portugal dan Sepanyol mengorbarkan enam mangsa, iaitu masing-masing tiga di Portugal dan Sepanyol dalam kebakaran yang berpunca daripada angin kencang akibat taufan Ophelia.

Jurucakap agensi perlindungan awam kebangsaan, Patricia Gaspar, berkata kira-kira 440 kebakaran dilaporkan di seluruh Portugal semalam dan ia dianggap terburuk sejak awal tahun ini, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Selain tiga yang dilaporkan terkorban, seramai 25 lagi mangsa disahkan cedera, ketika ribuan anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran, yang turut memaksa tiga lebuh raya menghubungkan Lisbon dan Porto ditutup,” kata Gaspar.

Pada Jun lalu, seramai 64 maut dan 250 lagi cedera dalam kebakaran berhampiran Pedrogao Grande di tengah Portugal.

Sementara itu, di Sepanyol, pihak berkuasa mendakwa perbuatan membakar dengan sengaja sebagai punca berlakunya 17 kebakaran yang mengorbankan tiga mangsa.

“Kebakaran yang berlaku memang disengajakan dan dirancang oleh individu atau pihak yang mengetahui kesan perbuatan mereka,” kata ketua kerajaan wilayah, Alberto Nunez Feijoo.

Menurut Feijoo, ketika ini terdapat 15 kebakaran hutan yang berpotensi merebak ke kawasan lebih luas hingga ke wilayah Galicia.

“Keadaan diburukkan lagi dengan tiupan angin sehingga 90 kilometer sejam dari utara pantai Sepanyol menuju ke Ireland yang dibawa oleh taufan Ophelia,” katanya kepada stesen penyiaran swasta La Sexta.

=EZY=