Categories
AGENDA NASIONAL

JAS giat kesan suspek kebakaran hutan simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 9 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis giat mengesan pihak disyaki mempunyai kaitan kes kebakaran Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

Pengarahnya berkata semua suspek melibatkan pemilik dan penyewa tanah, pekerja syarikat serta warga asing yang diupah melakukan pembakaran.

“Siasatan JAS mendapati syarikat ini menyewa tanah seluas 15.78 hektar untuk pertanian, kita yakin suspek ditangkap dalam tempoh terdekat.

“Selain itu tiga sampel bahan bukti di lokasi kebakaran dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya,” kata Nor Aziah Jaafar kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya hari ini.

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang dikesan pada 28 Februari merebak sehingga lebih 40 hektar berikutan cuaca panas, kering dan berangin.

Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari kerana melakukan pembakaran terbuka dii Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat dijangka padam sepenuhnya lima hari lagi

KUALA LANGAT, 4 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjangkakan kebakaran di kawasan tanah gambut di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, dapat dipadamkan sepenuhnya lima hari lagi.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya berjaya memadamkan 60 peratus kebakaran di kawasan tanah gambut di pinggir hutan simpan tersebut, sejak ia mula merebak hujung bulan lalu.

Menurutnya kawasan kebakaran tersebut melibatkan lapan kompartmen 7,12,13,14,15,16,17 dan 20 seluas 100 ekar.

“Sehingga kini pihak kami telah berjaya memadam kebakaran di kompartmen 13 dan 15. Kompartmen 12 dan 14 juga hampir berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, hari ini.

“Kami jangka dalam tempoh hari lagi, kebakaran akan dapat dipadamkan jika tiada perebakan di kawasan baharu,” katanya.

Norazam berkata sebanyak 135 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi antaranya bomba, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan dalam op khas bermula 28 Feb lepas.

Mengenai program suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata pihaknya menyasarkan sekitar 80 peratus pegawai dan anggotanya divaksin bagi suntikan fasa pertama, yang merangkumi mereka yang bertugas di lapangan dan terdedah dengan ancaman Covid-19.

“Seramai 895 senarai nama pegawai dan anggota fasa pertama telah diberi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk divaksin. Namun hanya 170 mereka yang sudah ditetapkan tarikh suntikan bagi fasa pertama ini. Mereka akan disuntik secara berperingkat bermula 16 Mac ini sehingga awal April ini,” katanya.

Katanya, ia akan melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor pada 16 Mac, BBP di PKD Petaling (18 Mac); BBP di PKD Klang (pertengahan Mac sehingga awal April); BBP di PKD Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat (awal April).

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

34 hektar Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan terbakar, angkara khianat

KUALA LANGAT, 2 MAC: Kira-kira 34 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan (HSKKLS) terbakar disyaki akibat perbuatan khianat daripada aktiviti pembakaran terbuka.

EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata kebakaran itu meliputi 0.45 peratus daripada 7,416 hektar keseluruhan kawasan hutan.

Menurut Loy Sian kebakaran itu mengakibatkan tumbuhan daripada spesies mahang, sendayan serta tanaman kontan milik petani musnah.

“Pada awalnya, Jabatan Perhutanan Negeri mula mengesan titik panas di HSKKLS pada 27 Januari lalu akibat aktiviti pembakaran terbuka.

“Kemudian, pada 22 Februari, tujuh lagi titik panas dikesan. Namun sehingga hari ini, sudah terdapat 16 titik panas akibat daripada pembakaran hutan berkenaan,” katanya selepas meninjau lokasi kebakaran pagi tadi.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata seramai 130 petugas kini berada di lokasi bagi memadamkan kebakaran yang dijangka selesai dalam tempoh enam minggu.

“Antara agensi terlibat ialah Jabatan Perhutanan Negeri, bomba, unit pengurusan bencana, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor,” katanya lagi.

Categories
GLOBAL

Hujan, ribut petir belum akhiri kebakaran hutan Australia

SYDNEY, 18 JAN: Hujan dan ribut petir memadamkan kebakaran hutan di sebahagian timur Australia, namun turut membawa ancaman banjir di beberapa kawasan.

Bagaimanapun, kebakaran hutan masih berterusan di kawasan selatan dan tenggara Australia yang belum mendapat hujan, setakat ini, termasuk di hutan kaya dengan hidupan liar di Pulau Kangaroo, lapor AFP.

Menurut pasukan bomba di New South Wales (NSW) yang mempunyai bilangan penduduk tertinggi dan paling teruk dilanda krisis itu, 75 kebakaran terus berlaku, menurun berbanding lebih 100 beberapa hari sebelum ini.

“Hujan masih melanda beberapa kawasan dijilat api,” kata pihak bomba.

Queensland turut dilanda ribut petir semalaman menyebabkan banjir kilat dan jalan terpaksa ditutup, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Kedua-dua negeri itu mengalami antara kemarau paling panjang dalam sejarah Australia moden, dan keadaan cuaca selama dua hari itu menyaksikan beberapa kawasan menerima jumlah hujan lebih banyak berbanding taburan diterima dalam tempoh lebih sedekad lalu.

Api terus marak di selatan NSW dan negeri jiran, Victoria, tetapi kawasan terbabit diramalkan hujan, sekali gus meningkatkan harapan agar sebahagian kebakaran berkenaan dapat dikawal.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Tun M: Sistem antarabangsa tidak mampu hentikan kebakaran hutan

NEW YORK, 26 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem antarabangsa ketika ini wujud dalam keadaan di mana tiada apa yang dapat dilakukan dunia bagi memaksa Indonesia menangani kebakaran hutan yang berleluasa yang mengakibatkan fenomena jerebu di kawasan tertentu di Asia Tenggara.

Beliau turut menyamakan keadaanya dengan kebakaran hutan yang berlaku di Brazil.

“Sebagaimana yang anda semua tahu Presiden Brazil yang baharu percaya kepada pembakaran hutan sebagai aktiviti untuk pertanian, dan tiada siapa yang boleh menghalang beliau setakat ini. Jadi saya rasa sistem semasa tidak membenarkan kita untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

“… anda boleh salahkan Indonesia, anda boleh mengkritik mereka, tetapi mereka akan terus dengan pembakaran mereka,” katanya di sesi dialog Forum Pemimpin Dunia yang berlangsung di Universiti Columbia di sini, semalam.

President Indonesia, Joko Widodo memerhati kemusnahan hutan akibat kebakaran yang berterusan di Pekanbaru pada 17 September 2019. Foto AFP

Dr Mahathir ditanya sekiranya tindakan lebih keras seperti sekatan ekonomi atau menggunakan komuniti antarabangsa untuk berhadapan dengan Indonesia akan dapat membantu masalah menangani masalah jerebu, susulan keadaanya yang cukup serius.

Perdana Menteri berkata, akan tiba masanya nanti pembakaran hutan akan menjadi teramat serius sehingga seluruh dunia diliputi jerebu.

“Ketika itu saya rasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mungkin akan berkata – ini bukan lagi hal dalaman negara semata-mata, ini sudah menjadi masalah dunia (untuk mengatasinya) dan dunia seharusnya melaksanakan hak mereka untuk mengambil tindakan.

“Sekiranya kita mempunyai pandangan yang sebegini, kemudian barulah kita boleh berbuat sesuatu apabila seseorang enggan menerima bantuan untuk memadamkan kebakaran misalnya,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata, ketika ini “PBB tidak dapat berbuat apa-apa, tapi kita perlu cuba memujuk”.

Katanya, beliau faham Indonesia juga menenerima kesan jerebu yang serius, dan ini mungkin akan membawa kepada pendirian yang lebih tegas berhubung usaha mengawal kebakaran hutan di negara mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Aktivis kritik Indonesia tidak serius tangani kebakaran

JAKARTA, 17 SEPT: Aktivis alam sekitar Indonesia mengkritik pemerintah yang dilihat tidak serius menangani kebakaran, sehingga berlaku jerebu teruk dan menjejaskan keselamatan awam.

Memetik laporan media tempatan, jerebu itu bukan sahaja menyusahkan rakyat tempatan, malah kini merentasi sempadan dan menjejaskan negara jiran.

Ketua Sumber Daya Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) Khalisah Khalid mendakwa jangankan tindakan tegas dilakukan terhadap mereka atau syarikat yang sengaja membakar hutan ketika ini, malah 10 syarikat yang didapati bersalah dalam kebakaran hutan pada 2012 hingga 2015 juga belum dikenakan tindakan.

Direktur Eksekutif WALHI di Jambi, Rudiansyah pula mendakwa pemerintah hanya mengambil tindakan terpilih kepada pelaku pembakaran hutan.

“Lebih 11,000 hekatar kawasan hutan terbakar di Jambi dan tiada apa apa pun tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik agensi berita Antara, turut melahirkan kekesalannya terhadap pemerintah daerah dalam menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu teruk di provinsi Kalimantan, Riau dan Jambi.

“Pasukan (pemadam api) kita tambahkan. Tetapi sekali lagi, kalau tidak ada dukungan dari pemerintah daerah, ini adalah pekerjaan besar yang sulit diselesaikan.

“Kita memiliki semuanya, tapi tidak ditertibkan secara baik. Kalau infrastruktur ini diaktifkan secara baik, saya yakin, kebakaran hutan akan dapat ditangani,” kata Jokowi.

Menurut laporan Antara, masyarakat juga kesal kerana Gabernor Riau, Syamsuar dan Wali Kota Pekanbaru, Firdaus kini berada di luar negara ketika masalah jerebu kian memburuk.

Sejak Januari lepas, lebih 42,000 hektar hutan dan ladang terbakar di beberapa provinsi di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan: California tingkat usaha cari mayat, lebih 600 hilang

PARADISE 17 NOV: Pekerja penyelamat dengan bantuan anjing pengesan mayat meningkatkan pencarian lebih ramai mangsa dalam kebakaran di bandar raya utara California semalam ketika pihak berkuasa berusaha mendapatkan petunjuk kepada nasib lebih 600 lagi yang dilaporkan hilang dalam kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Mayat sekurang-kurangnya 63 mangsa ditemui setakat ini di dan sekitar kawasan sekitar kaki bukit Sierra di Paradise, yang menempatkan hampir 27,000 penduduk sebelum ia dimusnahkan kebakaran Camp Fire pada malam 8 November lalu.

Lebih seminggu kemudian, pasukan bomba berjaya mewujudkan garisan kepungan sekitar 45 peratus daripada perimeter kebakaran, meningkat daripada 35 peratus sehari sebelum itu, walaupun ketika tanah yang terbakar bertambah sedikit kepada 57,000 hektar.

Selain kehilangan nyawa yang mengejutkan, kerugian harta benda akibat kebakaran paling buruk dalam sejarah California, memberikan cabaran kepada penyediaan perlindungan jangka panjang untuk ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Dengan hampir 12,000 kediaman dan bangunan terbakar, ramai penduduk berlindung sementara dengan rakan dan keluarga, manakala yang lain mendirikan khemah atau berkhemah di luar kenderaan mereka.

Lebih 11,000 penduduk ditempatkan di 14 pusat perlindungan kecemasan yang didirikan di gereja, sekolah dan pusat komuniti sekitar wilayah itu, kata jurucakap Palang Merah Amerika, Greta Gustafson.

Sementara, pasukan mencari, mengharungi kawasan penempatan yang rentung untuk mencari mayat, atau apa saja yang membawa DNA manusia untuk tujuan pengecaman.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan AS: Lebih 30,000 berpindah, 50,000 ekar musnah

GLOBAL 6 DIS: Lebih 30,000 penduduk Selatan California terpaksa melarikan diri dari kediaman masing-masing selepas kebakaran hutan dan belukar semakin merebak.

Dianggarkan lebih 50,000 ekar kawasan terbakar dengan 3,000 rumah dan kediaman terancam ketika mana lebih 1,000 anggota bomba berusaha mengawal keadaan kebakaran semakin merebak itu.

Ketika ini kira-kira 150 premis kediaman dan perniagaan serta infrastruktur kemudahan awam musnah terbakar.

Sementara itu REUTERS melaporkan ratusan rumah musnah manakala ribuan penduduk di sekitar Ventura terpaksa melarikan diri susulan kebakaran hutan yang cepat merebak, disemarakkan dengan tiupan angin panas dan kering Santa Ana.

Kebakaran itu, yang digelar Thomas Fire, berlaku petang kelmarin di kaki bukit Ventura.

Angin segera menyemarakkan api ke barat bandar raya itu yang terletak 80 kilometer ke barat laut Los Angeles.

Menjelang petang semalam, ia belum dapat dikawal langsung dan sudah memusnahkan lebih 20,234 hektar kawasan, kata pegawai bomba.

Gabenor California, Jerry Brown, mengisytiharkan darurat, menggunakan dana dan sumber kerajaan untuk membantu lebih 1,000 anggota bomba yang bergelut menyelamatkan rumah daripada kebakaran itu.

“Kebakaran ini amat bahaya dan merebak pantas tetapi kami akan terus mengawal keadaan dengan apa yang ada.

“Penduduk perlu terus bersedia dan berpindah segera apabila diarah berbuat demikian,” kata Brown.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan: 6 maut di Portugal, Sepanyol

GLOBAL 16 OKT: Kebakaran hutan di Portugal dan Sepanyol mengorbarkan enam mangsa, iaitu masing-masing tiga di Portugal dan Sepanyol dalam kebakaran yang berpunca daripada angin kencang akibat taufan Ophelia.

Jurucakap agensi perlindungan awam kebangsaan, Patricia Gaspar, berkata kira-kira 440 kebakaran dilaporkan di seluruh Portugal semalam dan ia dianggap terburuk sejak awal tahun ini, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Selain tiga yang dilaporkan terkorban, seramai 25 lagi mangsa disahkan cedera, ketika ribuan anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran, yang turut memaksa tiga lebuh raya menghubungkan Lisbon dan Porto ditutup,” kata Gaspar.

Pada Jun lalu, seramai 64 maut dan 250 lagi cedera dalam kebakaran berhampiran Pedrogao Grande di tengah Portugal.

Sementara itu, di Sepanyol, pihak berkuasa mendakwa perbuatan membakar dengan sengaja sebagai punca berlakunya 17 kebakaran yang mengorbankan tiga mangsa.

“Kebakaran yang berlaku memang disengajakan dan dirancang oleh individu atau pihak yang mengetahui kesan perbuatan mereka,” kata ketua kerajaan wilayah, Alberto Nunez Feijoo.

Menurut Feijoo, ketika ini terdapat 15 kebakaran hutan yang berpotensi merebak ke kawasan lebih luas hingga ke wilayah Galicia.

“Keadaan diburukkan lagi dengan tiupan angin sehingga 90 kilometer sejam dari utara pantai Sepanyol menuju ke Ireland yang dibawa oleh taufan Ophelia,” katanya kepada stesen penyiaran swasta La Sexta.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan antara terburuk dalam sejarah AS

CALIFORNIA 10 OKT: Sekurang-kurangnya 10 terkorban dan banyak rumah serta premis musnah dalam kejadian kebakaran antara yang terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kebakaran itu memusnahkan sekurang-kurangnya 1,500 bangunan dan memaksa negeri itu membuat pengisytiharan darurat di tiga daerah paling teruk dilanda kebakaran.

Kebakaran yang bermula malam Ahad lalu diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang selaju 80 kilometer sejam.

Pasukan bomba California berkata, kebakaran hutan itu sudah memusnahkan kawasan seluas 30,000 hektar.

“Pejabat Sheriff mengesahkan tujuh kebakaran mengorbankan nyawa yang disahkan pasukan bomba Sonoma. Takziah kepada keluarga dan rakan mereka,” tulis Sheriff Sonoma.

Kebanyakan kawasan yang terbakar membabitkan wilayah pengeluar wain terkenal.

Secara keseluruhan terdapat 14 kebakaran utama membabitkan daerah Napa, Sonoma dan Yuba. Ketiga-tiga daerah ini mendapat perlindungan atas perintah Gabenor Jerry Brown.

Pemindahan besar-besaran turut melibatkan lebih 20,000 penduduk di daerah Napa, Sonoma dan Yuba.

=EZY=