Categories
SELANGOR

Kekal sasar negeri pintar menjelang 2025

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 OKT: Selangor mengekalkan sasarannya untuk menjadi negeri pintar terulung menjelang 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), YM Raja Shahreen Raja Othman.

Beliau berkata, agenda diinspirasikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu mampu dilaksanakan menerusi kerjasama dan usaha berterusan semua pihak.

Katanya, pelan tindakan untuk melaksanakannya turut dirujuk kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan, di negeri itu termasuk pandangan daripada rakyat.

“Justeru, penting untuk kita mengumpul idea dan pandangan menerusi perbincangan serta siri forum interaktif supaya agenda Smart Selangor mampu direalisasikan dengan baik.

“Kesalinghubungan antara negeri, rakyat, industri serta teknologi berupaya mencipta formula kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika forum “Selangor Synergies 1: Economic Outlook for 2018-Opportunities in Selangor”, di The Saujana Kuala Lumpur, hari ini.

Forum terbabit bertujuan menggalakkan dialog dan perbincangan selain mewujudkan jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan berhubung pembangunan “smart state”.

Dalam ucapannya, Raja Shahreen turut memaklumkan Selangor kekal cemerlang menyumbang 22.7 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pada 2016.

Katanya, ia sekali gus mengekalkan prestasi Selangor sebagai negeri penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Selangor terus memacu ekonomi ke hadapan dengan menekankan sektor aeroangkasa, e-dagang, perkhidmatan, hab halal dan bioteknologi,” katanya.

Selangor merupakan lokasi sesuai bagi syarikat yang ingin menembusi pasaran serantau ekoran ia menyediakan banyak peluang perniagaan.

Negeri termaju itu turut menetapkan visi untuk menjadi Hab Perdagangan Global dan merancang membina Pusat Dagangan Dunia Selangor seperti dibayangkan Mohamed Azmin.