Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bajet 2018 tiru dasar kebajikan Selangor?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Bajet 2018 menggunakapakai dasar berkebajikan sedia ada yang sudah dilaksanakan di Selangor.

Menulis di Twitter, Ahli Parlimen Gombak itu mendedahkan butiran dasar berkebajikan Selangor yang lebih awal dilaksanakan sejak Pakatan menerajui kepimpinan negeri.

Antaranya kata Mohamed Azmin, Selangor Brain Bank, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Program TVET Selangor yang disifatkan Mohamed Azmin lebih tinggi jumlah peruntukan dikeluarkan Kerajaan Selangor berbanding Putrajaya.

“Selangor sudah lama berjaya melaksnakan TAWAS. Malangnya @NajibRazak baru teringat nak lancar ADAM50. Ayuh mari Selangor pimpin Putrajaya.

“Selangor Brain Bank telah saya laksanakan 3 tahun tetapi @NajibRazak baru tadi lancar Malaysian Brain Bank. Selangor terus menjadi model,” tulis Mohamed Azmin di Twitter.

Untuk rekod, ini bukan pertama kalinya dasar berkebajikan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Selangor ditiru Kerajaan Persekutuan.

Antara lain, pelaksanaan Skim Smart Sewa yang turut sama dilaksanakan di peringkat Persekutuan dalam usaha membantu masyarakat kurang berkemampuan memiliki rumah kediaman sendiri.

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak membentangkan cadangan Bajet 2018, di Dewan Rakyat petang ini dengan cadangan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.