Categories
SELANGOR

Kerjasama UNISEL-IGPK Tawau imarah masjid

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 100 sukarelawan Universiti Selangor (UNISEL) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau (IGPK Tawau) menyertai Program Kampung Sri Bombalai Berselawat, di Masjid Baburrahmah Kampung Sri Bombalai, Tawau, pada 30 September lalu.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, inisiatif itu bertujuan memupuk semangat cintakan rasul dalam kalam mahasiswa.

“Ia turut memberi pendedahan kepada masyarakat setempat berhubung peranan masjid sebagai institusi penting dalam memenuhi tuntutan kehidupan sosial.

“Pada masa sama, program ini juga menyemai semangat ukhuwah dengan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.

Program dirasmikan Timbalan Pengarah IGPK Tawau, Dr Najamuddin Bachora itu menyaksikan sukarelawan terbabit turut menjalankan kerja kemasyarakatan di kawasan kampung.

Katanya, turut diadakan aktiviti menulis khat asma’ul husna di dalam masjid oleh pelajar IPGK Tawau serta penyertaan Jabatan Perpaduan Tawau yang menyediakan ujian saringan kesihatan kepada penduduk setempat.

universiti_selangor_unisel_kampus_shah_alam_3“Semoga program kemasyarakatan ini akan berterusan untuk memupuk perpaduan serta kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.

“UNISEL selaku institusi pengajian tinggi akan terus menyokong usaha pembangunan generasi dan sosial khususnya di Malaysia,” katanya.

Masjid Baburrahmah Kampung Sri Bombalai adalah surau yang dibina lebih 50 tahun lalu yang kemudiannya dinaik taraf menjadi masjid.

IPGK Tawau menjadikan masjid itu sebagai anak angkat demi meneruskan usaha murni mengimarahkannya.