Categories
SUKANKINI

Khairunnisa, Halimah tekad bawa pulang emas untuk Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OKT: Siapa sangka dua gadis jelita, lemah lembut dan pemalu tatkala diminta diwawancara sebenarnya memiliki kombinasi tumbukan dan tendangan tangkas lagi padu yang mampu membuatkan lawan tersembam di gelanggang sukan muay.

Kehebatan Nurul Khairunnisa Najwa Kamaruddin, 15, dan Che Halimah Che haron, 19, di gelanggang sukan muay terbukti apabila masing-masing menjuarai kategori masing-masing 48-51 kilogram dan 51-54 kilogram pada Kejohanan Terbuka Muay Challenger Amatur Selangor.

Kedua-dua sahabat itu turut sama-sama bertekad untuk membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan di adakan di Perak tahun hadapan.

Nurul Khairunnisa Najwa Kamaruddin

“Sebelum ini saya dah menang banyak kejohanan tetapi penyertaan dalam SUKMA nanti merupakan penyertaan peringkat kebangsaan pertama saya dan sudah tentulah saya mahukan pingat emas untuk Selangor,” kata Nurul Khairunnisa Najwa.

Beliau berkata demikian ketika pemberita pada Kejohanan Terbuka Muay Challenger Amatur Selangor yang diadakan di Dewan Sukan Tempur, Seksyen 6, di sini, hari ini.

Apabila ditanya pembabitan

Che Halimah Che haron

beliau dalam sukan muay, beliau memberitahu minatnya mula berputik apabila kerap menonton sukan Mixed Martial Arts (MMA) yang kerap ditayangkan di kaca televisyen.

“Daripada situ timbul minat tetapi pada awalnya hanya suka-suka, tak berniat pun nak jadi ‘fighter’ tetapi selepas mencuba terus datang minat,” katanya lagi.

Jelasnya, beliau juga perlu bijak membahagikan masa untuk pelajaran dan latihan yang biasanya diadakan pada sebelah malam.

Sementara itu, Che Halimah pula memberitahu, pada masa ini mereka sedang giat berlatih bagi menghadapi cabaran dalam SUKMA nanti.

“Memang memenatkan, terpaksa berlari dan pelbagai latihan lain. Insha Allah kami berikan yang terbaik dalam pertandingan itu nanti,” katanya.

Jelasnya, beliau dan Nurul Kharunnisa Najwa sangat bernasib baik apabila mendapat restu dan dorongan ibu bapa dan keluarga masing-masing untuk bergiat aktif dalam sukan tempur yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental ini.

“Mereka sokong kami. Bawa kami ke tempat latihan, hadir pada hari pertandingan dan lain-lain aspek sokongan sama ada fizikal atau sokongan moral dan dengan kehadiran mereka setiap kali bertanding memang memberi semangat luar biasa kepada kami,” katanya lagi.

Che Halimah yang bergiat sepenuh masa dalam sukan ini turut melahirkan harapan supaya pada suatu hari mereka boleh menjadi peninju profesional sukan muay.

=EZY=