Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kalau nak tiru, biar kami pimpin Putrajaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 OKT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali secara sinis mengingatkan pimpinan Kerajaan Persekutuan supaya lebih baik memberi peluang kepada PAKATAN mentadbir Putrajaya berbanding meniru modul pentadbiran dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya, sebahagian besar inisiatif Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah dilakukan di Selangor, namun beliau tidak mempunyai masalah jika ia mahu dilakukan di peringkat persekutuan.

“Dua hari lalu (27 Oktober), apabila perdana menteri membentangkan belanjawan bagi tahun 2018, sebahagian besar daripada inisiatif disebut sudah dilakukan di Selangor.

“Tetapi tidak mengapa. Kalau dia rasa dasar yang dilakukan Selangor itu baik, boleh ikut, tidak ada masalah. Kalau dia nak ikut atau tiru semua, lebih baik kami berada di Putrajaya untuk menyelamatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Usahawan India Negeri Selangor 2017 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Antara inisatif yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan dan mirip pelaksaan di Selangor adalah MyBrain, tabungan anak baru lahir yang dikenali sebagai ADAM50 dan Off River Storage (ORS) demi menjaga sumber air.

Katanya, bajet Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan belanja mengurus 84 peratus berbanding 16 peratus bagi pembangunan dilihat tidak mampu menyelamatkan ekonomi Malaysia.

“Bagaimana beliau (Najib) boleh menyelamatkan rakyat dan ekonomi jika belanja pembangunan dikurangkan kepada 16 peratus? PERMATA mendapat RM600 juta. Pejabat Perdana Menteri mendapat tambahan peruntukan RM1.5 bilion.

“Sebab itu, belanja mengurus meningkat sehingga 84 peratus dan belanja pembangunan dikurangkan dari 18 peratus pada 2017 kepada 16 peratus untuk 2018,” katanya.