Categories
NASIONAL

Malaysia gesa anggota D-8 bantu pelarian Rohingya

ISTANBUL, 20 OKT: Malaysia menggesa Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) membantu etnik Rohingya, di Wilayah Rakhine yang menderita ekoran tidak mendapat keadilan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, negara anggota D-8 perlu membantu etnik itu untuk meringankan keadaan sosioekonomi mereka yang menyedihkan.

“Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine sudah mengeluarkan Laporan Terakhir mengenal pasti aspek pembangunan sosial dan ekonomi dalam krisis Rohingya.

“Kami percaya pelaksanaan syor dikemukakan dalam laporan itu akan memperbaiki keadaan sosioekonomi mereka.

“Bagaimanapun, ia hanya boleh dilaksanakan jika ada kestabilan politik kerana saling berkait, yang kemudian itu adalah prasyarat untuk pembangunan sosioekonomi,” katanya semasa menyampaikan ucapannya pada Sidang Ke-17 Majlis Menteri-Menteri D-8, di sini, semalam.

Beliau berkata, satu kaedah segera untuk membantu etnik Rohingya adalah dengan Kerajaan Myanmar memberikan akses terhadap bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.

“Dalam hal ini, Malaysia memuji Bangladesh kerana memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya,” katanya.

Ditubuhkan pada 15 Jun, 1997, Kumpulan D-8 adalah sebuah organisasi untuk kerjasama pembangunan terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turki dan Malaysia.

Semenjak keganasan meletus, pada 25 Ogos lalu, lebih daripada 400,000 etnik Rohingya meninggalkan kediaman mereka dan menyeberang sempadan ke Bangladesh.

Malaysia juga menghantar bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang kini berlindung di kem pelarian di Bangladesh.

*Sumber: BERNAMA