Categories
EKONOMI NASIONAL

MIDA: Pelaburan merosot 28% separuh pertama 2017

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Malaysia meluluskan pelaburan RM65.4 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama, pada separuh pertama 2017, merosot 28.2 peratus, berbanding RM91.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, ia ekoran kejatuhan 41 peratus tahun ke tahun dalam pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan, seiring kelembapan pasaran hartanah.

Katanya, 1,974 projek di bawah sektor terbabit diluluskan dalam enam bulan pertama tahun ini, mencatat jumlah projek terbesar dilulus dalam tempoh berkenaan.

“Selain subsektor hartanah, penyumbang utama dari segi pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan ialah perdagangan pengedaran (RM4.7 bilion), perkhidmatan kewangan (RM4.7 bilion), utiliti (RM4.3 bilion) serta teknologi maklumat dan komunikasi, RM4.1 billion.

“Kelima subsektor ini menyumbang 81 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor terbabit,” katanya.

MIDA berkata, sektor perkhidmatan mengekalkan kedudukannya sebagai majikan terbesar dalam ekonomi dengan mewujudkan lebih 39,000 pekerjaan, pada separuh pertama 2017.

Sementara itu, 302 projek dengan pelaburan RM17 bilion diluluskan, pada separuh pertama 2017 di bawah sektor pembuatan, yang dikuasai segmen elektrik dan elektronik.

“Pelaburan asing menyumbang RM9.6 bilion atau 56.5 peratus daripada jumlah pelaburan itu, manakala bakinya RM7.4 bilion atau 43.5 peratus daripada pelaburan domestik,” katanya.

MIDA berkata, sumber utama pelaburan asing dalam sektor pembuatan ialah Belanda, Switzerland, Jerman, Hong Kong dan Singapura, di mana mereka menyumbang 76.2 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan bagi sektor berkenaan pada separuh pertama 2017.

“Projek pembuatan yang diluluskan pada separuh pertama 2017 dijangka menjana kira-kira 21,900 pekerjaan,” katanya.

Berkenaan sektor utama, MIDA berkata, pelaburan yang diluluskan melonjak 517.9 peratus kepada RM7.3 bilion pada separuh pertama 2017 berbanding RM1.2 bilion pada separuh pertama 2016.

Subsektor perlombongan muncul sebagai penyumbang terbesar dengan pelaburan diluluskan bernilai RM6.8 bilion, terutama daripada aktiviti penerokaan minyak dan gas.

“Pelaburan daripada sumber domestik berjumlah RM4.4 bilion atau 60.3 peratus manakala pelaburan asing menyumbang RM2.9 bilion atau 39.7 peratus daripada keseluruhan pelaburan itu,” katanya.

MIDA berkata, jumlah pelaburan diluluskan dalam ketiga-tiga sektor membabitkan 2,294 projek dan akan mewujudkan 61,930 pekerjaan.

*Sumber: BERNAMA