Categories
PBT SELANGOR

Sistem Arces V.2.0 mudah semak perjanjian MPAJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperkenalkan sistem Arces V.2.0 bagi memudahkan urusan pendaftaran semakan perjanjian Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussein berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai akses pemudah cara bagi proses pemantauan perjanjian, di peringkat jabatan seliaan MPAJ.

“Kelebihan sistem ini ialah tiada lagi pertindihan data semasa proses membuat perjanjian dengan pengguna akan lebih peka terhadap perjalanan semakan perjanjian.

“Kepelbagaian ‘alert system’ seperti SMS dan e-mel boleh dikesan jika tempoh perjanjian hampir tamat, selain memudahkan proses penamatan atau pembaharuan perjanjian,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini, pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Selangor 2017, di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada 12 Oktober lalu.

Pada masa sama, beliau berkata projek berkenaan turut mendapat pengiktirafan terbaik sebagai salah satu pembangunan teknologi yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada majlis.

Abdul Hamid berkata, keberkesanan projek itu juga seiring memenuhi tuntutan Kerajaan Negeri untuk membudayakan pendekatan Internet Of Things (IOT) dalam pengurusan.

“Ia juga mampu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai ‘regional smart state’ terkemuka di rantau ini,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru PBT seluruh negeri menyediakan teknologi berasaskan IOT bagi mengurus secara efektif kehendak dan aspirasi rakyat, menjelang 2020.

Beliau berkata, trend menjelang tahun itu menunjukkan 50 hingga 80 peratus populasi bakal berhijrah dan menetap di bandar.

Katanya, keadaan itu menuntut PBT bergerak lebih maju ke hadapan dan menyediakan perkhidmatan IOT lebih proaktif serta efisien.