Categories
NASIONAL

Mangsa banjir daerah Kota Belud meningkat kepada lebih 1,500

KOTA KINABALU 21 OKT: Jumlah mangsa banjir di Daerah Kota Belud yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sehingga jam 8.45 malam tadi, mencecah 1,503 orang.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, daripada jumlah berkenaan seramai 272 orang ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Muhibbah Kampung Tombol (224), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 1 (400), Dewan SMK Taun Gusi 2 (390),Dewan SMK Agama Tun Said (181) dan Dewan Gopong Kampung Taginambur (36).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Daerah Tuaran yang ditempatkan di SMK Sri Nangka ialah 34 orang, menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah.

Menurut APM, setakat ini sebanyak 21 kampung di daerah berkenaan terjejas dengan banjir ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

Dalam perkembangan lain, 30 individu daripada lapan keluarga di Kampung Kolam Damai Minintod di daerah Penampang terpaksa dipindahkan ke Dewan Lembaga Sukan Penampang apabila tiga rumah yang mereka diami diancam tanah runtuh.

Menurut APM, mereka dipindahkan ke dewan berkenaan kira-kira jam 9.50 pagi tadi selepas APM menerima aduan daripada Pegawai Daerah Penampang.

SUMBER: BERNAMA