Categories
SELANGOR

MB sampaikan sumbangan RM148,000 di DUN Bukit Antarabangsa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 21 OKT: Sebanyak RM148,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri sebagai inisiatif bantuan kepada 66 individu membabitkan masyarakat awam, agensi tempatan, institusi keagamaan masjid dan surau di bawah Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Majlis Penyampaian Sumbangan disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di perkarangan Masjid Al-Mardhiyah Fasa 5 Taman Melawati, hari ini.

Mohamed Azmin dalam ucapan perasmiannya berkata, sumbangan diberikan sebagai inisiatif dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap keperluan masyarakat di bawah Parlimen dan DUN berkenaan.

“Anggaplah bantuan ini sebagai tanggungjawab saya untuk mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat menerusi agihan bantuan dan inisiatif peduli rakyat daripada Kerajaan Negeri.

“Pastinya komitmen ini sudah menjadi kelaziman dan menjadi aktiviti harian saya di peringkat Kerajaan Negeri dalam memastikan masyarakat memerlukan dibantu dalam segenap aspek,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri kekal konsisten melaksanakan komitmen inisiatif peduli rakyat dalam membantu meningkatkan keperluan ekonomi masyarakat seluruh negeri.

Katanya, ini termasuklah pelaksanaan 42 program di bawah inisiatif peduli rakyat yang dijayakan sejak menerajui kepimpinan negeri.

“Kerajaan Negeri akan terus membantu semua golongan sama ada peringkat belia, mahasiswa, penggiat industri, pengusaha, wanita dan lainnya.

“Saya percaya peningkatan kos (kehidupan) kini semakin meningkat dan menjadi lebih sukar apabila Kerajaan Persekutuan memotong pelbagai peruntukan.

“Namun, di peringkat Kerajaan Negeri dengan kemampuan terhad, kita akan terus menumpukan aspek pembangunan dalam Belanjawan Negeri 2018 ini,” katanya.

=EZY=