Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB sertai Kayuhan Fun Ride PNSB 20km

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OKT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memulakan hari ini dengan menyertai Kayuhan Fun Ride sempena Program Jom Sihat PNSB 2017.

Seawal jam 7.30 pagi, beliau sudah tiba di perkarangan Taman Lasak Seksyen 13 untuk bersama kira-kira 500 peserta berbasikal lain.

Tepat jam 8 pagi, Mohamed Azmin menyempurnakan upacara pelepasan sebelum turut serta mengayuh 20 kilometer di sekitar Seksyen 13, TTDI Jaya dan Bukit Jelutong.

Turut serta berkayuh, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Dato’ Ahmad Omar dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin.

Selepas kira-kira sejam, beliau tiba di lokasi terakhir acara berkenaan di Stadium Mini Shah Alam bersama peserta lain.

“Tahniah kepada PNSB kerana aktif menganjurkan program kebajikan dan kesukanan di Selangor selain melunaskan tanggungjawab membangunkan hartanah Selangor.

“Ia selaras hasrat Kerajaan Negeri yang bukan sahaja mahukan ekonomi berkembang tetapi juga rakyat yang sihat dan aktif seterusnya menyumbang kepada produktiviti Selangor,” katanya.

Selain Fun Ride, program Jom Sihat PNSB 2017 turut merangkumi dua segmen lain iaitu acara zumba dan Karnival Bola Sepak PNSB 2017.

=EZY=