Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

METMalaysia nafi cuaca panas lebih 40 darjah Celcius

SHAH ALAM 24 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan mesej tular cuaca panas dijangka melebihi 40 darjah Celsius bagi tempoh lima hari akan datang.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Alui Bahari berkata suhu tertinggi dicatatkan minggu lalu ialah 36 darjah Celcius dan tidak mencapai tahap suhu gelombang haba iaitu melebihi 37 darjah Celsius.

“Matahari juga kini tidak berada di kedudukan garisan Khatulistiwa dan berdasarkan pemantauan terkini, keadaan cuaca ribut petir pada sebelah petang telah berlaku di beberapa tempat di Semenanjung berikutan Taufan Lan semakin lemah.

“Keadaan ribut petir ini adalah normal semasa fasa peralihan monsun yang sedang dialami negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menasihati orang awam mendapatkan maklumat sahih keadaan cuaca dari laman sesawang MET Malaysia di www.met.gov.my atau menghubungi talian 1-300-221638.

 

=EZY=