Categories
SELANGOR

Misi mencari kapsul masa di Antartika

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 OKT: Seramai lima protege bakal terpilih bagi mengikuti misi membawa balik kapsul masa yang ditanam di Antartika, pada Disember 2004.

Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, kapsul masa yang ditanamnya itu disasarkan untuk digali semula pada 2020.

Katanya, ia bagaimanapun dipercepat selepas mengambil kira faktor pemanasan global.

“Kapsul itu berisi sepucuk surat ditulis saya dan ditujukan kepada seseorang dan hanya akan diketahui pada penghujung 2018 nanti.

“Protege juga akan menanam kapsul masa baru, KMTN50 untuk digali semula pada 2050,” katanya pada sidang media.

Bertempat di Pejabat All Women Expedition to Antartica (AWETA), di sini, ia turut disertai, Pengarah Projek AWETA 2018, Dato’ Noorizah Abd Hamid.

Penyertaan AWETA 2018 terbuka kepada semua wanita rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang memenuhi syarat dan melepasi ujian ditetapkan.

Antara lokasi temuduga seterusnya di adalah di Ipoh pada 4 November 2017, Melaka (5 November), Kuala Kubu Bharu (18 November), Putrajaya (21 November) dan Universiti Utara Malaysia (7 Disember).

AWETA juga akan ke lokasi di Sabah dan Sarawak yang akan ditentukan tarikhnya kelak.

Hanya 30 peserta akan terpilih untuk disenarai pendek kepada lima finalis, menerusi program realiti TV selama 13 minggu.

Mereka akan menjalani latihan intensif di dalam dan luar negara negara selama lebih kurang enam bulan.

Kelima peserta bakal mencipta nama sebagai Ekspeditor Wanita Berkumpulan Pertama Malaysia berjaya menjelajah Antartika.

=EZY=