Categories
NASIONAL

Menakut-nakutkan penjawat awam, sudahkan Jamal disiasat?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 OKT: Tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengancam menyimbah air ikan terhadap Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini boleh dianggap sebagai ugutan mempunyai elemen jenayah kerana cuba menakut-nakutkan penjawat awam menjalankan tugas.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil, berkata, pihak polis sepatutnya menjalankan siasatan ke atas tindakan ugutan dibuatnya itu.

“Tindakan itu adalah satu tindakan yang langsung tidak menghormati kakitangan dan penjawat awam.

“Beliau seharusnya disiasat polis, memandangkan ugutan ini mungkin mempunyai elemen jenayah kerana cuba menakut-nakutkan kakitangan kerajaan dan penguatkuasa MBPJ,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, walaupun Jamal sebelum ini sering bertindak di luar batasan undang-undang, namun tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, keengganan pihak berkuasa khususnya Peguam Negara mendakwa Jamal di mahkamah amat dikesali kerana menimbulkan persepsi bahawa beliau ‘dipayungi’ pihak tertentu.

=EZY=