Categories
GLOBAL

Monarch Airlines muflis, lebih 110,000 penumpang terkandas

LONDON 3 OKT: Syarikat penerbangan Monarch Airlines menghentikan operasinya sekali gus memaksa campur tangan kerajaan Britain membawa pulang seramai 110,000 penumpangnya yang terkandas di luar negara.

Syarikat penerbangan Britain itu dan agensi pelancongannya memasuki fasa muflis dan firma perakaunan KPMG dilantik menguruskan situasi tersebut, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) menyifatkan situasi itu sebagai ‘kegagalan syarikat penerbangan United Kingdom (UK) paling besar’ sambil menambah ‘semua percutian dan penerbangan disediakan Monarch dibatalkan dan tidak lagi beroperasi’.

Menurut CAA, kerajaan meminta pihaknya membantu pelanggan Monarch yang berada di luar negara untuk kembali ke UK pada penghujung percutian mereka tanpa dikenakan kos tambahan.

Monarch1Sementara itu, kerajaan UK berkata, ia sedang menguruskan operasi membawa pulang rakyatnya yang disifatkan terbesar selepas Perang Dunia Kedua.

“Keadaan ini sangat menyedihkan bagi pelancong Britain di luar negara dan keutamaan saya adalah untuk membantu mereka kembali ke UK.

“Itulah sebabnya saya segera mengarahkan operasi penghantaran pulang untuk menerbangkan kira-kira 110,000 penumpang yang mungkin terkandas di luar negara,” kata Setiausaha Pengangkutan, Chris Grayling dalam satu kenyataan.

Sementara itu, peningkatan kos dan pasaran yang semakin kompetitif terutamanya melibatkan laluan jarak dekat di Eropah menyebabkan Kumpulan Monarch mengalami kerugian berterusan,” kata rakan kongsi dan pentadbir bersama KPMG, Blair Nimmo.

Lebih 2,000 pekerja Monarch kini berisiko hilang pekerjaan mereka.

=EZY=