Categories
SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM166.9 juta setakat Oktober

 

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 26 OKT: Sebanyak RM166.9 juta cukai taksiran berjaya dikutip Majlis Perbandaran Klang (MPK) setakat Oktober ini sekali gus mencatat lebihan empat peratus berbanding kutipan dalam tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berjaya mencatat kutipan dinyatakan sehingga 17 Oktober lalu iaitu mengatasi jumlah dikutip RM160.26 juta tahun lalu.

“Mengikut pecahan, kita berjaya mengutip RM77.17 juta iaitu 97 peratus bagi cukai taksiran 1/2017, RM66.44 juta (84 peratus) (cukai taksiran 2/2017) dan RM23.28 juta (56 peratus) (tunggakan cukai taksiran).

“Ia mencatat lebihan RM6.64 juta atau empat peratus berbanding kutipan dilakukan pada tahun lalu,” katanya dalam Mesyuarat Penuh MPK di sini, hari ini.

Beliau selanjutnya berkata, MPK turut memaklumkan penafian Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) berkaitan cuaca panas melebihi 40 darjah celcius untuk lima hari akan datang yang tersebar luas melalui media sosial, baru-baru ini.

Pada minggu lalu, katanya, mengikut maklumat JMM, suhu tertinggi dicatat ialah 36 darjah celcius dan tidak mencapai tahap suhu gelombang haba iaitu melebihi 37 darjah celcius.

“Sehubungan itu, orang awam dari semasa ke semasa dinasihatkan agar mendapat maklumat sahih dari laman sesawang JMM supaya tidak timbul sebarang keraguan,” katanya.