Categories
NASIONAL

MRT: Ikrar terus tingkat integriti dan tadbir urus baik

KUALA LUMPUR 18 OKT: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mempunyai tanggungjawab berat dalam memastikan integriti dan tadbir urus yang baik setelah menjadi organisasi keretapi pertama di Malaysia membuat Ikrar Bebas-Rasuah, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar.

“Apa yang pentingnya tentang ikrar, yang telah diambil secara kolektif oleh Ahli Lembaga, Barisan Kepimpinan dan warga kerja MRT Corp, adalah ikrar ini memperkukuhkan pendirian bebas-rasuah yang sering diamalkan di MRT Corp.

“Sebagai syarikat keretapi milik kerajaan yang pertama membuat Ikrar Bebas-Rasuah, MRT Corp perlu memastikan upacara ini bukan sekadar sandiwara,” kata beliau.

Beliau berkata MRT Corp telah diiktiraf di atas usaha dalam memastikan integriti dan tadbir urus yang baik dalam menjadi pemilik dan pemaju Projek MRT Lembah Klang dan ini bermakna tanggungjawab untuk mengekalkan piawaian tersebut menjadi lebih besar sekarang.

“Kami bangga MRT Corp berjaya menetapkan penanda aras dalam proses perolehan untuk projek Kerajaan yang berbilion ringgit,” kata beliau.

Lebih 500 orang terdiri daripada ahli lembaga pengarah, barisan kepimpinan dan warga kerja MRT Corp telah mengambil Ikrar Bebas-Rasuah pada 5 Oktober 2017, berikrar untuk menghindarkan diri daripada amalan rasuah semasa menjalankan tugas mereka dalam membangunkan projek infrastruktur terbesar di Malaysia.

Ikrar itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkilfi Ahmad.

Shahril berkata komitmen MRT Corp dalam memastikan ketelusan telah bermula dari awal peringkat kewujudan syarikat itu lagi.

Beliau berkata budaya ini diamalkan bukan sahaja untuk “perkara besar” seperti proses perolehan, tetapi juga untuk langkah-langkah kecil seperti mencetak penyata kewangan walaupun tidak perlu dilakukan seperti yang demikian jika mengikut undang-undang.

“MRT Corp bukan sebuah syarikat yang tersenarai awam tetapi kami tidak pernah gagal untuk menghasilkan Laporan Kemajuan Tahunan yang memberikan laporan mengenai kemajuan projek dan keadaan kewangan.

“MRT Corp percaya bahawa ia mempunyai tugas kepada rakyat, untuk menjadi telus dan bertanggungjawab kepada mereka kerana telah diamanahkan dengan wang pembayar cukai untuk membangunkan Projek MRT Lembah Klang,”kata beliau.

Beliau berkata pada 17 Julai 2017, MRT Corp telah berjaya melaksanakan sepuluh inisiatif anti-rasuah, di bawah Ikrar Integriti Korporat.

Turut bersama semasa upacara Ikrar Bebas-Rasuah, gabungan inisiatif ini terus memperkukuhkan komitment kuat MRT Corp ke arah budaya integriti.

Untuk terus melibatkan warga kerja MRT Corp dalam pendirian anti-rasuah, Shahril berkata MRT Corp juga menyerahkan 537 borang pendaftaran yang telah diisi oleh warga kerja MRT Corp, termasuk beliau dan Barisan Kepimpinan, untuk menjadi sebahagian daripada Sahabat GERAH SPRM (GERAH) atau Gerakan Revolusi Anti Rasuah.

“Kami mahu kita semua menjadi pemangkin perubahan masyarakat untuk menolak dan membenci rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata beliau.

=EZY=