Categories
SELANGOR

RM1.5 juta disumbang kepada NGO

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri akan menyumbangkan RM1.5 juta kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membela nasib umat Islam di seluruh dunia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bagi membantu lebih ramai lagi umat Islam yang dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang.

“Sumbangan ini bertujuan membantu umat Islam yang dalam kesusahan di setiap pelusuk dunia.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada para dermawan yang menjayakan usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kemanusiaan ‘Kita Satu Umat’ di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.

Majlis itu mengumpulkan hampir 1,000 aktivis ABIM, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Global Peace Mission (GPM) dan Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) di samping para penyumbang daripada syarikat-syarikat korporat dan individu.

Dalam majlis itu, tiga kempen kemanusiaan dilancarkan iaitu Kempen Bantuan dan Pembangunan Asnaf di Malaysia, Kempen Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan Kempen Bantuan Misi Musim Sejuk 2017.

Kesemua kempen tersebut menyasarkan bantuan kepada golongan asnaf Malaysia, pelarian Rohingya dan Syria.

Turut dilancarkan tiga buku bertajuk Monograf Rohingya, Hadiah Buat Nur dan Kita Satu Umat hasil penulisan aktivis ABIM, MLLFS dan PKPIM.

=EZY=