Categories
GLOBAL

New Zealand terima PM paling muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GLOBAL, 20 OKT: Pemilihan pemimpin muda untuk menerajui kepimpinan tertinggi sesebuah negara terus menjadi ikutan, di seluruh dunia.

Selepas Perancis memiliki pemimpin muda, Emmanuel Macron sebagai Presiden baru negara itu, juga Justin Trudeau sebagai Perdana Menteri Kanada, New Zealand turut tidak tercicir.

Terbaru, Jacinda Ardern, 37, dipilih sebagai Perdana Menteri termuda negara itu, selepas berjaya dalam pilihan raya, pada 23 September lalu.

Ardern terpilih sebagai Perdana Menteri perempuan ketiga setelah Jenny Shipley (1997-1999) dan Helen Clark (1999-2008).

Ardern juga menjadi pemimpin termuda selepas Edward Stafford pada 1865-1869 dan 1872, lapor Kompas.com.

Walaupun 150 tahun lalu, Edward memimpin negara pada umur seusia dengan Ardern, namun Ardern dilihat lebih muda berdasarkan faktor hari lahirnya.

Terdahulu, Parti Buruh pimpinan Ardern berjaya mendapat 46 kerusi Parlimen seterusnya bergabung bersama Parti Green dengan majoriti besar 54 kerusi Parlimen.

Gabungan itu sekali gus membentuk kerajaan baru negara berkenaan.