Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: New Zealand tangguh pilihan raya umum sehingga Oktober

MOSCOW, 17 OGOS: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya umum sehingga 17 Oktober, disebabkan wabak Covid-19, lapor agensi berita Sputnik.

Ardern juga mempertimbangkan beberapa pilihan lain, termasuk mengadakan pemilihan pada 19 September, seperti yang dijadualkan, menangguhkannya selama empat minggu atau mengadakannya pada 21 November.

“Saya memutuskan untuk menukar tarikh pilihan raya selewat-lewatnya empat minggu sehingga 17 Oktober. Pada akhir minggu lalu, saya diberitahu ia mungkin boleh diadakan pada tarikh ini dan kurang berisiko berbanding jika kita mengekalkan status quo,” kata Ardern semasa taklimat media yang disiarkan di Facebook.

Minggu lalu, New Zealand merekodkan empat kes baharu untuk pertama kalinya dalam masa 102 hari, mendorong pihak berkuasa mengenakan peraturan kuarantin di Auckland.

Sehingga kini New Zealand mengesahkan 1,271 kes, dengan jumlah korban seramai 22 orang.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Burj Khalifa siar imej PM New Zealand

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 MAC: Bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa memberi penghormatan kepada New Zealand khususnya Perdana Menterinya, Jacinda Ardern apabila memaparkan imej pemimpin itu memeluk seorang wanita pada mercu tanda bangunan berkenaan.

Thenews.com.pk melaporkan, imej berkenaan adalah gambar yang diambil melalui jurugambar Wellington, Hagen Hopkins di Getty Images, ketika Ardern berada di Masjid Kilbirnie di Wellington.

Burj Khalifa memancarkan imej itu bermula malam tadi di samping tulisan Arab ‘Salam’ yang membawa maksud keamanan susulan serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 orang, minggu lalu.

Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shaikh Mohammad Rashid Al Maktoum berkata, beliau mengucapkan terima kasih buat Ardern atas rasa empati dan sokongan ikhlas beliau kepada masyarakat Islam.

Semalam, penduduk New Zealand bertafakur selama dua minit bagi memperingati mangsa serangan pengganas itu.

Saluran televisyen dan radio tempatan turut menyiarkan secara langsung laungan azan dan solat Jumaat di Hagley Park, Christchurch yang dihadiri ribuan penduduk termasuk Ardern.

Categories
GLOBAL

New Zealand negara pertama dunia haramkan beg plastik

ELLINGTON, 10 OGOS: New Zealand mengharamkan penggunaan beg plastik mulai tahun depan sebagai langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, ia berikutan negara itu menggunakan ratusan beg plastik setiap tahun dan kebanyakannya berakhir di dalam laut, sekali gus membahayakan kehidupan marin.

Katanya, ketetapan pengharaman itu menjadikan New Zealand sebagai negara pertama di dunia yang berbuat demikian.

“Kita perlu lebih bijak dalam menguruskan sisa buangan dan ini ialah langkah permulaan yang amat baik.

“Kita hentikan penggunaan beg plastik bagi membolehkan kita menjaga alam sekitar dan melindungi reputasi New Zealand sebagai negara hijau yang bersih,” katanya.

Menurut Ardern, kerajaan gabungan pimpinan beliau termasuk Parti Hijau berdepan cabaran alam sekitar termasuk perubahan cuaca sekali gus mereka perlu mengambil langkah bermakna untuk mengurangkan pencemaran plastik supaya tidak membebankan generasi akan datang.

Beg plastik adalah antara benda paling kerap ditemui dibuang di sekitar pantai New Zealand dan kumpulan alam sekitar, Greenpeace mengalu-alukan langkah mengharamkan penggunaan bahan berkenaan.

“Ini boleh menjadi langkah utama dalam mengurangkan pembuangan plastik di dalam laut serta langkah pertama yang penting untuk melindungi hidupan marin seperti penyu dan ikan paus,” kata Penyelaras Kempen Greenpeace Ocean, Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang disiarkan Jun lalu menyebut, lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun atau hampir 10 juta beg plastik setiap minit. – AFP

Categories
GLOBAL

New Zealand terima PM paling muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GLOBAL, 20 OKT: Pemilihan pemimpin muda untuk menerajui kepimpinan tertinggi sesebuah negara terus menjadi ikutan, di seluruh dunia.

Selepas Perancis memiliki pemimpin muda, Emmanuel Macron sebagai Presiden baru negara itu, juga Justin Trudeau sebagai Perdana Menteri Kanada, New Zealand turut tidak tercicir.

Terbaru, Jacinda Ardern, 37, dipilih sebagai Perdana Menteri termuda negara itu, selepas berjaya dalam pilihan raya, pada 23 September lalu.

Ardern terpilih sebagai Perdana Menteri perempuan ketiga setelah Jenny Shipley (1997-1999) dan Helen Clark (1999-2008).

Ardern juga menjadi pemimpin termuda selepas Edward Stafford pada 1865-1869 dan 1872, lapor Kompas.com.

Walaupun 150 tahun lalu, Edward memimpin negara pada umur seusia dengan Ardern, namun Ardern dilihat lebih muda berdasarkan faktor hari lahirnya.

Terdahulu, Parti Buruh pimpinan Ardern berjaya mendapat 46 kerusi Parlimen seterusnya bergabung bersama Parti Green dengan majoriti besar 54 kerusi Parlimen.

Gabungan itu sekali gus membentuk kerajaan baru negara berkenaan.