Categories
NASIONAL Ringgit

Ringgit kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dipacu permintaan komersial sederhana, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, ringgit diniagakan kepada 4.2190/2220 berbanding dolar AS daripada penutup semalam, iaitu 4.2220/2250.

Peniaga bagaimanapun, berkata mata wang domestik itu dijangka bergerak di antara jajaran lebih ketat sekitar paras 4.22 selepas pelabur menunggu lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju pasaran.

“Ringgit mungkin terus mencari sokongan daripada jangkaan sentimen positif mengenai Bajet 2018 minggu depan.

“Beberapa langkah propertumbuhan akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta dan meningkatkan aliran dana asing ke negara ini,” katanya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama, pada sesi awal dagangan hari ini.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.7429/7466 daripada 3.7466/7502, pada Khamis dan menokok berbanding pound British kepada 5.5505/5557 daripada 5.5536/5593 yang dicatatkan, semalam.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1100/1129 daripada 3.1097/1123, pada Khamis dan merosot berbanding euro kepada 5.0008/0052 daripada 4.9870/9923 yang dicatatkan sebelumnya.

*Sumber: BERNAMA