Categories
GLOBAL

PBB: Pelarian Rohingya meningkat kepada 536,000

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 14 OKT– Jumlah pelarian Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine, utara Myanmar mencecah 536,000 dengan 14,000 orang menyeberangi sempadan dalam masa dua hari lalu, lapor Xinhua memetik kenya­taan seorang jurucakap PBB kelmarin.

Jurucakap terbabit, Farhan Haq juga berkata, Ketua Hal Ehwal Politik PBB, Jeffrey Feltman berada di Myanmar sejak semalam sehingga Selasa ini untuk perbincangan dengan pegawai Myanmar.

Menurut Farhan, kunjungan itu dibuat susulan beberapa gesaan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi menamatkan operasi ketenteraan dan keganasan di Rakhine untuk memboleh­kan akses bantuan kemanusiaan selain pelarian dapat kembali ke kawasan asal mereka dengan selamat.

“Perbincangan akan memfokuskan kepada pembinaan kerjasama antara Myanmar dan PBB bagi menangani isu tersembunyi yang melibatkan semua komuniti di kawasan berkenaan.

“Agensi kemanusiaan PBB melaporkan pada Rabu lalu, jumlah pelarian yang melarikan diri dari Myanmar menuju ke Bangladesh sejak penghujung Ogos lalu mencecah 536,000 dengan seramai 14,000 orang menyeberangi sempadan dua hari lalu,” kata jurucakap itu.

Farhan juga memberitahu pemberita di ibu pejabat PBB bahawa Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan kerajaan Bangladesh telah bersetuju untuk segera membina 10,000 tandas di kem dan pe­nempatan untuk pelarian di Cox’s Bazar.

“Matlamatnya untuk mengelakkan wabak penyakit,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap tandas itu hanya menelan kos di bawah AS$150 (RM630), namun akan memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 orang.

“UNICEF berkata, sudah ada laporan penyakit bawaan air di kem-kem tersebut dan perlunya perlindungan sanitasi,” kata Haq.

SUMBER: BERNAMA