Categories
SUKANKINI

Hoki Piala Asia: Malaysia siap sedia strategi taktikal Korea Selatan

KUALA LUMPUR 14 OKT: Malaysia perlu berwaspada dengan taktikal jurulatih Korea Selatan, Kyo Shin Seok dan kehadiran pemain senior dalam perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 di Dhaka, hari ini.

Selaku juara bertahan, Korea Selatan berada dalam keadaan terdesak untuk memburu satu-satunya tiket ke Piala Dunia 2018 melalui kejohanan tersebut, sekali gus memberi tekanan kepada Malaysia untuk memburu kedudukan terbaik di Bangladesh.

Korea Selatan sudah melaungkan amaran awal untuk merebut peluang terakhir tiket Piala Dunia 2018 apabila membuka kempen dengan membelasah Oman 7-2, manakala Malaysia turut merakam kemenangan besar dengan mengalahkan China 7-1.

“Kami menjangkakan perlawanan sukar dengan Korea Selatan kerana ini adalah peluang terakhir untuk mereka layak ke Piala Dunia,” kata jurulatih negara, Stephen van Huizen dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini.

Selain tuan rumah India, Malaysia dan Pakistan sudah layak ke Piala Dunia 2018 yang akan diadakan di Bhubaneswar, India, dari 24 November hingga 16 Disember tahun depan.

Bagaimanapun, Stephen berkata, beliau akan menumpukan perhatian terhadap beberapa aspek yang memerlukan penambahbaikan serta mengharapkan persembahan konsisten serta tumpuan sepenuh pemain sepanjang 60 minit perlawanan dengan Korea Selatan.

Beliau menegaskan bahawa anak-anak buahnya perlu memastikan prestasi mereka harus setaraf dengan usaha yang ditunjukkan oleh Korea Selatan.

Selain itu, beliau turut memastikan stamina pemain berada pada tahap terbaik dan serta kurang membuat kesilapan terutamanya dalam memberi peluang kepada pihak lawan melakukan pukulan sudut penalti.

Selain Malaysia dan Korea Selatan, kumpulan tersebut turut disertai China dan Oman, manakala Kumpulan A terdiri daripada India, Pakistan, Jepun dan Bangladesh.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke kumpulan ‘Super Fours’, manakala dua pasukan terbawah dalam kumpulan akan diletakkan dalam satu kumpulan untuk menentukan kedudukan kelima hingga kelapan.

Dalam kumpulan ‘Super Fours’, pasukan akan bersaing secara liga sepusingan dengan dua pasukan teratas akan mara ke final.

SUMBER: BERNAMA