Categories
SELANGOR

Pengurusan kutipan sampah semakin baik, berjaya ditangani

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Kerajaan Negeri menyifatkan masalah isu pengurusan sampah di Selangor berjaya ditangani secara berkesan susulan pelbagai pelaksanaan dan dasar baru diperkenalkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan itu dibuktikan menerusi kurangnya aduan daripada masyarakat awam membabitkan isu pengurusan sampah negeri kini.

“Pengurusan sampah di Selangor sekarang lebih baik sebab pengurusan sampah negeri kini diuruskan Waste Management.

“Ini dibuktikan apabila aduan pengurusan sampah jauh lebih berkurang berbanding tempoh tahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Laman PKNS, pagi ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melantik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bagi mengendalikan pengurusan sisa pepejal dengan baik dengan pengurangan aduan, sejak Mac lalu.

Sejak beroperasi, kecekapan KDEBWM dalam pengurusan sisa pepejal serta mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan, wajar dipuji.

KDEBWM juga menggunakan aplikasi IClean Selangor bagi pengurusan aduan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal negeri.

Aplikasi ini adalah salah satu daripada inisiatif Kerajaan Negeri melalui program Smart Selangor bagi kemudahan masyarakat.

Dalam perkembangan itu, syarikat itu turut menggunakan lori kompaktor yang akan dipantau pergerakannya melalui penggunaan Automatic Vehicle Locating System (AVLS) secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di KDEBWM di ibu pejabat di Shah Alam.