Categories
SUKANKINI

Piala Raja Muda Selangor medan terbaik cungkil bakat muda

SHAH ALAM 10 OKT: Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-30 yang pentas terbaik bagi mencungkil bakat baharu pemain bola sepak bawah 12 tahun di Selangor.

Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, matlamat utama kejohanan adalah untuk menggilap bakat anak-anak muda dari peringkat akar umbi supaya dapat diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi dalam sukan bola sepak tempatan.

“Saya yakin kejohanan ini akan melahirkan bakat-bakat baru dalam pasukan bola sepak Selangor mahu pun Malaysia. Ini telah pun dibuktikan. Menang atau kalah adat pertandingan.

“Namun, apa yang penting semangat kesukanan yang tinggi serta membentuk sahsiah diri adalah menjadi keutamaan. Dengan bersukan, insya-ALLAH kita dapat menghindarkan diri daripada gejala negatif,” katanya lapor SINAR HARIAN.

Beliau berkata, kejohanan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap sekolah dan ianya dicemburui oleh sekolah dari daerah lain yang ingin turut menyertainya.

Katanya, walaupun pada peringkat awal kejohanan ini hanya membabitkan beberapa sekolah sekitar pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), namun ia telah diperluaskan kepada sekolah dalam Petaling Perdana.

“Sejak tahun lalu, ia turut menggabungkan sekolah terbaik di Petaling Utama. Syabas saya ucapkan kepada sekolah yang bertanding serta Ahli Jawatankuasa kejohanan, khususnya tuan rumah kali ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana,” katanya.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sekali lagi muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali kelima berturut-turut.

Manakala GPS Bestari dan Sinar Harian menjadi portal dan akhbar rasmi kejohanan yang menawarkan hadiah utama RM4,000.

=EZY=