Categories
SELANGOR SUKANKINI

SK Seri Selangor juara Piala DYTM Raja Muda Selangor 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 NOV: Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor menewaskan SK Seri Petaling, 2-1 untuk menjuarai Kejohanan Piala Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor 2018.

Pasukan bola sepak SK Seri Selangor beraksi baik dalam perlawanan akhir, di Padang SUK Shah Alam di sini, semalam, bagi mencatat kejayaan penuh makna dalam penyertaan sulungnya, pada kejohanan itu.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan hadir memeriahkan perlawanan akhir kejohanan edisi
ke-31 itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Kumpulan Perangsang Selangor menjadi penaja buat kali keenam dengan tajaan RM100,000.

Piala DYTM Raja Muda Selangor diperkenalkan sejak 1988 hasil cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (ketika itu Raja Muda Selangor), semasa merasmikan SK Raja Muda, Shah Alam.

Baginda mencadangkan supaya sekolah rendah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam mengadakan pertandingan bola sepak sebagai aktiviti tahunan.

Baginda juga berkenan mengurniakan sebuah piala pusingan untuk kejohanan awalnya dikenali sebagai Pesta Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor Darul Ehsan.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Piala Raja Muda Selangor kembali cungkil bakat baharu

SHAH ALAM, 30 OKT: Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-31 kembali untuk mencungkil bakat baharu pemain bola sepak bawah 12 tahun, bermula 22 Oktober lalu, di Sekolah Kebangsaan Seksyen 24, di sini.

Pengerusinya, Dato’ Emran Kadir berkata, kejohanan itu berupaya menggilap bakat anak muda dari peringkat akar umbi supaya mencapai tahap kemahiran lebih tinggi dalam bola sepak.

“Pemain yang dikenal pasti mempunyai potensi berpeluang diserap ke sekolah sukan, di Selangor untuk mendapatkan latihan dan bimbingan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan itu masih mengekalkan pembabitan 576 pemain daripada 32 pasukan, iaitu 20 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah dari PPD Petaling Utama.

Katanya, pasukan berkenaan dibahagikan kepada lapan kumpulan menerusi proses undian dengan
perlawanan berlangsung secara liga.

“Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua dan seterusnya ke peringkat suku akhir, separuh akhir serta akhir yang dijangka berlangsung, pada 15 November ini,” katanya.

Johan bakal menerima wang tunai RM4,000, piala, pingat dan sijil, manakala naib johan RM3,000, tempat ketiga dan keempat masing- masing RM2,000 serta RM1,000 berserta pingat juga sijil.

Piala Raja Muda adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Perangsang
Selangor di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) bagi menyediakan platfom pembangunan sukan bola sepak.

Atlet berbakat berpeluang diserap sebagai pemain skuad pelapis dan belia, di Selangor.

Perangsang Selangor masih kekal sebagai penaja utama kejohanan buat kali keenam berturut-turut dengan tajaan RM100,000.

Categories
SUKANKINI

Piala Raja Muda Selangor medan terbaik cungkil bakat muda

SHAH ALAM 10 OKT: Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-30 yang pentas terbaik bagi mencungkil bakat baharu pemain bola sepak bawah 12 tahun di Selangor.

Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, matlamat utama kejohanan adalah untuk menggilap bakat anak-anak muda dari peringkat akar umbi supaya dapat diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi dalam sukan bola sepak tempatan.

“Saya yakin kejohanan ini akan melahirkan bakat-bakat baru dalam pasukan bola sepak Selangor mahu pun Malaysia. Ini telah pun dibuktikan. Menang atau kalah adat pertandingan.

“Namun, apa yang penting semangat kesukanan yang tinggi serta membentuk sahsiah diri adalah menjadi keutamaan. Dengan bersukan, insya-ALLAH kita dapat menghindarkan diri daripada gejala negatif,” katanya lapor SINAR HARIAN.

Beliau berkata, kejohanan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap sekolah dan ianya dicemburui oleh sekolah dari daerah lain yang ingin turut menyertainya.

Katanya, walaupun pada peringkat awal kejohanan ini hanya membabitkan beberapa sekolah sekitar pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), namun ia telah diperluaskan kepada sekolah dalam Petaling Perdana.

“Sejak tahun lalu, ia turut menggabungkan sekolah terbaik di Petaling Utama. Syabas saya ucapkan kepada sekolah yang bertanding serta Ahli Jawatankuasa kejohanan, khususnya tuan rumah kali ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana,” katanya.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sekali lagi muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali kelima berturut-turut.

Manakala GPS Bestari dan Sinar Harian menjadi portal dan akhbar rasmi kejohanan yang menawarkan hadiah utama RM4,000.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

32 pasukan berentap rebut Piala Raja Muda Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Pentas Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor kembali menggegar untuk edisi ke-29 bakal melibatkan seramai 576 pemain daripada 32 pasukan.

Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir, berkata kejohanan kali ini sebanyak 20 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah pula mewakili PPD Petaling Utama.

“Pemain berpotensi akan diserap ke sekolah sukan untuk mendapatkan latihan dan bimbingan sewajarnya.

237a1660-1“Hanya Selangor menganjurkan kejohanan seperti ini bagi mendapatkan pemain terbaik bagi mewakili negeri suatu hari nanti,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sekali lagi muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali ke-4 berturut-turut.

Majlis perasmian dan penyampian cek tajaan bernilai RM100,000 disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah, Perangsang Selangor, Mustaffa Kamil Ayub.

Perlawanan akan berlangsung secara liga di mana kesemua pasukan terbahagi kepada lapan kumpulan terlebih dahulu menerusi proses undian.

Sebanyak dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober ini.

Johan Piala Raja Muda Selangor bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, trofi dan sijil manakala naib johan RM3,000, ketiga RM2,000 dan tempat keempat RM1,000 beserta pingat dan sijil.

Sementara itu, pada perlawanan pembuka tirai Piala Sumbangsih, juara bertahan, Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 berpesta gol apabila membelasah pasukan tuan rumah, SK Seksyen 18 dengan 5-0.

Kapten pasukan, Muhammad Fareez Iqhmal Nazarudin muncul wira dengan menyumbat dua gol pada minit ke-15 dan ke-49 perlawanan.

Sementara tiga lagi jaringan disumbang Mizan Irfan Mohd Faizal minit ke-14, Mohamad Alif Hakimi Mohd Shabuddin (m39) dan Muhammad Adib Mohamad Fairuz pada (m46) perlawanan.

EZY