Categories
NASIONAL

Politik wang, raih kuasa – Tun M

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT : Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, wujudnya sentimen pemberian wang oleh individu tertentu untuk terus kekal meraih kuasa.

Beliau berkata, sogokan diberikan sebagai jaminan rakyat untuk terus kekal memilih individu berkenaan sebagai pentadbir dalam negara.

“Memang mereka akan hulur duit sebab mahu dapatkan sokongan dari rakyat.

“Tapi mana mereka dapat duit kalau bukan daripada duit rakyat yang dicuri?” katanya.

Sebaliknya, bekas Perdana Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu berkata, pemimpin yang telus tidak memerlukan sogokan wang untuk kekal berkuasa.

Beliau berkata, rakyat bijak memilih pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk negara atau sebaliknya.

“Duit tidak perlu untuk (raih) sokongan.

“Hanya dengan berkhidmat sudah memadai untuk dapat sokongan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui prinsip ‘cash is king’ boleh mempengaruhi sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

Kenyataan itu dikeluarkan Najib Razak susulan pertikaian Tun Mahathir terhadap pelaksanaan dasar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat berkelayakan.

=EZY=