Categories
NASIONAL

PPSM: Sekolah aliran perdana hilang daya penarik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan Persekutuan perlu segera memperkasa posisi dasar dan sistem pendidikannya yang semakin dijauhi ibu bapa.

Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia (PPSM), Amidi Abdul Manan berkata, majoriti rakyat kini lebih berminat menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz walaupun dilengkapi kemudahan terhad.

Katanya, jumlah pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga dilapor mencecah 18 peratus pada 2015 dan dijangka terus meningkat.

AMIDI“Dimanakah silapnya sistem pendidikan kita sehingga gagal menarik minat ibu bapa menghantar anak-anak mereka dan apa sebenarnya yang mereka mahu.

“Lebih malang, ada golongan ibu bapa begitu berani apabila tidak menyediakan anak bagi menduduki peperiksaan am seperti UPSR, PT 3, SPM dan STAM.

“Mereka tidak ‘hairan’ jika anak mereka tiada sijil kelulusan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Amidi berkata, program J-Qaf perlu segera dikembalikan jika kerajaan ingin menarik kembali kepercayaan masyarakat ke sekolah kendalian kerajaan.

“Program ini yang bertujuan mahu menangani masalah buta al-Quran dan fardhu ain suatu masa dihentikan secara tiba-tiba.

07.04 Sumbangan Baik Pulih Masjid & Sekolah Rendah Agama Daerah Sabak Bernam (SHUAIB)“Kem Amali Solat juga semakin mengecil di mana ia kini dilaksanakan di peringkat daerah dengan beberapa orang terpilih sahaja mewakili sekolah,” katanya.

Amidi mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk ‘cermin diri’ sebelum menyalahkan ibu bapa yang mengambil risiko beralih arah ke sekolah alternatif lain.

“Bila kebakaran dikatakan dari perbuatan ‘khianat’ ia seperti meludah ke langit apabila terkait dengan sistem pendidikan kita,” katanya.