Categories
SELANGOR

RM3.4 juta jayakan 2,281 program PWB

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Sekurang-kurangnya 2,281 program dilaksanakan 56 Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh Selangor, setakat Jun lalu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, kesemuanya dilaksanakan menerusi perbelanjaan pembangunan oleh Kerajaan Negeri berjumlah RM3.4 juta.

“Sejak dilaksanakan sepenuhnya pada 2015, kita melantik penyelia bagi mengurus dan merancang aktiviti serta program pemberdayaan wanita setempat di peringkat akar umbi.

DAROYAH“Program dan aktiviti PWB berasaskan falsafah Hormat Wanita bagi meningkatkan penglibatan wanita secara inklusif dalam membentuk keperibadian wanita berilmu, berkemahiran dan bijak mengurus ekonomi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Dasar Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Daroyah berkata, Kerajaan Negeri diharap dapat mempertimbang cadangan meningkatkan peruntukan kepada Penyelia PWB daripada RM30,000 kepada RM50,000 setahun.

“Dengan peruntukan lebih tinggi, kita yakin lebih ramai wanita Selangor dapat menerima manfaat.

“Ia seterusnya meningkatkan peluang wanita memperkukuh ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.