OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 20 OKT: Kadar upah rendah dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai pengajian antara faktor mendorong generasi muda, di negara ini terjebak dengan hutang.
Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu turut mendorong perkembangan budaya berhutang dalam kalangan generasi muda.
“Sekarang ini nak beli apa sahaja generasi muda terpaksa berhutang apabila gaji yang diterima tidak selaras dengan kenaikan harga barangan atau kos sara hidup.
“Keadaan ini menjelaskan apa diumumkan BNM tahun lalu kenapa paras hutang isi rumah negara setinggi 89.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara yang tertinggi di Asia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.
Katanya, selain pinjaman PTPTN, hutang kad kredit turut merupakan antara yang tertinggi, di negara ini.
Beliau bagaimanapun tidak menolak amalan berbelanja melebihi kemampuan turut memberi kesan terhadap peningkatan hutang dalam kalangan sesetengah generasi muda.
“Pertumbuhan ekonomi semasa negara yang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun ini turut menyebabkan banyak syarikat terpaska menghentikan operasinya, sekali gus memberi kesan besar kepada golongan pekerja yang berhutang,” katanya.